berpendapatan

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak lagi berada dalam perangkap pendapatan sederhana dan telah bergerak separuh jalan ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi susulan kejayaannya dalam mengurangkan defisit fiskal dan meningkatkan pelaburan swasta.

Profesor Ekonomi Kajian Perniagaan Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata Malaysia mencapai kejayaan ini dengan mengurangkan subsidi, memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan dan menyediakan persekitaran mesra perniagaan untuk membantu mengembangkan perniagaan.

Beliau berkata pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Negara (NTP) adalah penting kerana ia memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia, serta pelaburan swasta di mana lebih 60 peratus kini disumbang sektor swasta.

“Bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, pelaksanaan semua inisiatif ekonomi adalah sangat penting bagi negara,” katanya kepada Bernama.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,  setakat ini, negara telah mencapai Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita sebanyak AS$10,010 (RM42,908) berbanding AS$8,230 pada 2010.

Yeah berkata NTP juga mencapai kejayaan cemerlang yang mana jurang ke arah ambang pendapatan tinggi telah berkurangan kepada 18 peratus hari ini daripada 33 peratus pada 2010.

“Jurang semakin rapat antara ambang pendapatan tinggi dan PNK negara juga merupakan petunjuk yang kita tidak lagi terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana,” katanya.

Sementara itu, menurut Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang menguruskan ETP, bagi mengubah Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, PNK perlu dinaikkan kepada AS$523 bilion menjelang 2020 atau menaikkan pendapatan perkapita daripada AS$10,010 kepada sekurang–kurangnya AS$15,000.

Apabila ETP kali pertama diperkenalkan pada 2010, kadar pertukaran adalah pada RM3.2 berbanding AS$1. Pada 2015, ringgit turun kepada RM4.2 dan kadar pertukaran semasa ialah RM4.4.

NTP juga membantu meningkatkan kualiti hidup bagi setiap rakyat Malaysia secara eksklusif seperti pembinaan jalan luar bandar sepanjang 5,286 kilometer yang menghubungkan ke 144,025 rumah di luar bandar hinggalah kepada bekalan elektrik, penyediaan akses air bersih kepada 1.68 orang yang tinggal di 334,593 rumah di luar bandar, serta membina dan memulihkan 79,137 rumah bagi memberi manfaat kepada 412,360 orang.

Yeah berkata menerusi NTP sebagai model transformasi sosio-ekonomi negara, Malaysia diiktiraf oleh banyak institusi global, kumpulan akademik dan kerajaan dalam tempoh tujuh tahun lepas dan ini sudah pastinya satu pencapaian hebat. –Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here