Polis hari ini berkata mereka meminta pihak berkuasa Macau menahan ahli perniagaan Low Taek Jho, Jho Low , yang dipercayai melarikan diri daripada ditahan di Hong Kong ke pulau berdekatan itu dengan menaiki feri.

Jho Low, yang dikenalpasti oleh penyiasat Malaysia dan Amerika Syarikat adalah watak utama dalam skandal berbilion dolar 1MDB.

Pendakwaraya AS mendakwa AS$4.5 bilion digelapkan daripada 1MDB oleh pegawai-pegawai tinggi di syarikat itu dan rakan-rakan mereka. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan beberapa tuntutan undang-undang untuk menuntut aset bernilai kira-kira AS$1.7 bilion yang dipercayai dicuti daripada 1MDB, termasuk lukisan Picasso, barangan kemas dan kapal bernilai AS$265 juta.

Dalam usaha menahan Jho Low, polis memohon notis mereah Interpol memohon bantuan Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, India, Myanmar, China dan Hong Kong, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun kepada Bernama.

Fuzi berkata permintaan juga dibuat kepada Taiwan melalui saluran diplomatik.

“Sebelum ini, kita hantar pasukan ke Hong Kong untuk mengesan Jho Low selepas terima maklumat daripada pihak berkuasa di sana. Bagaimanapun, pelarian itu melarikan diri ke Macau melalui jalan laut selepas pasukan tiba,” kata Fuzi.

“Sekarang kita tunggu respons daripada Macau untuk bantu kita jejaki Jho Low.”

Polis Macau mengesahkan mereka ada menerima permintaan daripada Malaysia, sedang menentusahkan kandungannya, “dan akan memberikan maklumat yang diminta negara terbabit secepat mungkin.”

Minggu lepas, imigresen membatalkan pasport Jho Low pada 15 Jun atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam siasatannya ke atas skandal 1MDB.

Bernama melaporkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata Jho Low dipercayai menggunakan pasport yang dikeluarkan negara lain untuk bergerak.

“Sekarang dia mungkin menggunakan pasport negara lain,” kata Mustafar menurut laporan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here