kl2017

TUAN rumah Malaysia pasti akan tersenyum lebar susulan langkah kanan permulaan menuai kilauan emas sebaik sahaja melangkah masuk ke Stadium Nasional untuk upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Ke-29 KL2017 esok malam.

Perjuangan sengit bagi merebut 404 pingat emas yang dipertaruhkan dalam 38 sukan akan bemula Ahad ini dengan aksi boling tenpin, wushu, ping pong, acara memanah recurve, gimnastik artistik dan kuda lasak manakala pada Isnin membariskan acara renang, lawan pedang dan menembak.

Kontinjen tuan rumah meraih tiga daripada empat emas ditawarkan hari ini untuk menjadi pendahulu dalam kutipan pingat dengan tujuh emas, empat perak dan tiga gangsa diikuti Singapura, Myanmar dan Indonesia masing-masing dengan dua emas.

Pemanah acara compound Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Mohd Juwaidi Mazuki mengekalkan gelaran berpasukan campuran selepas perenang marathon Kevin Yeap dan Heidi Gan memulakan hari ini dengan tuaian emas dalam pertandingan 10km perairan terbuka lelaki dan wanita yang penuh mencabar.

Dalam acara renang berirama, wakil negara Zylane Lee Yhing Huey dan Gan Hua Wei terpaksa berpuas hati di tempat kedua untuk pingat perak dalam rutin duet teknikal yang diungguli gandingan  Singapura  Debbie Soh dan Miya Yong Hsing.

Malaysia menamatkan pertandingan dalam acara compound dengan tiga emas, ketinggalan satu pingat berbanding jumlah yang diraih di Singapura. Fatin dan Mohd Juwaidi  menewaskan gandingan Myanmar Ye Min Swe dan Aung Ngeain 152-142 untuk mengutip emas kedua mereka pada temasya ini selepas muncul juara dalam acara berpasukan semalam.

Kompleks Air Putrajaya menjadi saksi kepada hasrat Kevin, 28, yang mengumumkan akan bersara selepas berjaya meraih emas kedua sepanjang menyertai Sukan SEA. Beliau merupakan pemegang gelaran 400m gaya bebas dan pemenang pingat gangsa dalam acara 10km perairan terbuka pada Sukan Palembang pada 2011.

“Ini merupakan perlumbaan terakhir saya. Saya mahu bersara selepas ini dan saya berterima kasih kepada keluarga saya, jurulatih saya dan semua orang yang memberi sokongan kepada saya. Ia perlumbaan yang sungguh mencabar dan sukar, saya memberikan yang terbaik setakat yang terdaya walaupun saya letih. Saya dapat rasakan pesaing berada di belakang saya sepanjang perlumbaan. Saya tidak berani nak menoleh ke belakang,” katanya.

Beliau mencatatkan 2:03:18s untuk mengatasi  Peerapat Lertsathapornsuk dari Thailand dengan  2:05:41s.

Heidi Gan yang dua kali pernah menyertai Olimpik pula mencatatkan 2:11:02s untuk meninggalkan perenang Thailand Benjaporn Sriphanomthorn dan perenang Singapura Chantal Liew Li Shan untuk perak  dan gangsa. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here