Struktur hutang dan aset luar Malaysia berjaya meningkatkan ketahanannya terhadap kejutan luar dan pergerakan tukaran asing, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Penilaian petugas kami dapati hutang luar Malaysia mampu bertahan hadapi pelbagai kejutan,” katanya hari ini.

Hutang luar Malaysia berjumlah RM873.8 bilion atau AS$204.7 bilion sehingga akhir September 2017, bersamaan 65% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) (2016: RM916.9 bilion atau AS$202.3 bilion; 74.5% KDNK).

Hutang luar Malaysia disokong struktur hutang memihak kepadanya, dengan kira-kira 34% hutang luar dalam mata wang ringgit.

Hutang selebihnya dalam mata wang asing, sebahagian besar dipegang institusi perbankan, yang tertakluk kepada pengurusan berhemat bank pusat, katanya dalam laporan disediakan pasukan petugas IMF untuk pertimbangan Lembaga Eksekutif pada 9 Februari 2018, susulan perbincangan berakhir 8 Disember 2017 bersama pegawai Malaysia mengenai pembangunan dan dasar.

Laporan petugas itu selesai pada 24 Januari 2018.

Penilaian petugas ke atas pendedahan pembiayaan luar negeri Malaysia lebih tinggi berbanding negara setanding, tidak mengambil kira sepenuhnya tahap keterbukaan pasaran kewangan Malaysia secara menyeluruh.

Sebagai contoh, Malaysia mempunyai pasaran bon dalam mata wang tempatan ke-2 terbesar di Asia (berbanding KDNK, tidak termasuk Jepun), dengan penyertaan bukan pemastautin aktif.

Pendedahan luaran sektor perbankan juga sejajar amalan pengurusan kecairan berpusat bank tempatan dengan kehadiran serantau oleh bank asing yang besar dan kukuh, yang diperbadankan dalam negara. Sebarang penilaian juga perlu mempertimbang aset luaran Malaysia.

Aset luar Malaysia sebahagian besarnya adalah dalam mata wang asing (95%), manakala sebahagian besar liabiliti Malaysia pula dalam mata wang tempatan (59.5%).

Aset mata wang asing, bukan pelaburan langsung asing (FDI) melebihi liabiliti mata wang asing.

Justeru, potensi tuntutan ke atas rizab antarabangsa daripada liabiliti bukan FDI terhad, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here