BARU-BARU ini, saya hadir di satu dialog tertutup bersama Daim Zainuddin, mantan menteri kewangan pada hujung minggu lalu di ibu negara. (Pakatan Harapan mahu jadi Malaysia Lama)

Sebagai pemimpin yang berpengalaman membawa negara keluar daripada krisis ekonomi, Daim menanggapi soalan pentadbiran, ekonomi dan pendidikan yang sangat berhati-hati, sinis, namun amat tajam.

Sehinggalah soalan akhir tentang siapa calon Pakatan Harapan (PH) yang paling sesuai dinamakan untuk memimpin negara selepas PRU14. Soalan ini juga dijawab secara berhati-hati tetapi amat tajam.

Namun, apa yang ditegaskan olehnya – pemimpin yang layak adalah dia yang meletakkan kepentingan negara sebagai utama; dia yang “peduli rakyat”, berwibawa dan pastinya generasi muda penentunya. Bagi Daim, beliau dan generasinya adalah “Malaysia Lama” dan generasi muda “Malaysia Baru”, untuk masa depan.

Ini membawa kami, generasi muda milenium untuk berasa terkejut dan sedikit kecewa dengan cadangan Majlis Presiden PH menamakan Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Dunia hari ini menuju kepimpinan muda. Apakah Malaysia kemudian hari akan kembali diterajui oleh pemimpin berusia 94 tahun? Hal yang sama juga dengan cadangan menamakan Dr Wan Azizah yang dianggap oleh generasi kami sebagai keputusan yang tidak bijak dan strategis.

Keputusan ini juga dilihat seolah-olah dibayangi Anwar Ibrahim dari dalam tembok Sungai Buloh. Kita yakin menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon TPM bagi mengisi kerusi sementara buat suami tercinta. Ini terbukti tidak diterima dengan senang oleh ramai millinneals.

Kita hormati dan kagum dengan Anwar. Kita akan terus menyokong perjuangan yang dimulakan oleh Anwar dalam mewujudkan sebuah negara yang bebas dari budaya korupsi, nepotisme dan kleptokrasi. Namun kita melihat masa depan negara dalam paparan yang berbeza. Paparan kami negara akan di dokong oleh generasi muda pasca reformasi.

Sebahagian dari golongan kami tidak melalui zaman pasca 1998 bila bermula reformasi. Setengahnya mungkin terlalu muda untuk mengetahui liku-liku dan pahit maung perjuangan. Sewajarnya, ia patut terus menjadi inspirasi perjuangan anak muda dalam memakmurkan negara.

Apa yang kritikal waktu ini adalah memenangi PRU akan datang. PH wajib menang! Kita yakin, apabila PH sampai ke Putrajaya, PH boleh melakukan yang terbaik umpama memberikan keadilan perundangan kepada Anwar dan sebagainya.

Kita yakin isu paling dominan waktu kini bagi PH adalah mengetepikan agenda dalaman parti dan memberikan tumpuan kepada kemenangan. Dua puluh tahun lepas mulanya reformasi cukup untuk mematangkan satu-satu bangsa.

Dan untuk menang dan terus ke Putrajaya, kita harus mengambil jalan yang terbaik dan boleh meyakinkan rakyat walaupun tidak popular. Pemuda PH memaparkan keberanian dan rasional ini.

Justeru keputusan Pemuda PH yang turut menamakan Azmin Ali sebagai pilihan PM pastinya mampu meyakinkan rakyat. Keputusan itu suara generasi kami yang mahukan pembaharuan. Di kalangan kami generasi digital melihatkan ini sebagai langkah progresif, tulen serta jujur. Menamakan Azmin akan memberi sinar kepada kami yang bakal mengundi nanti.

Azmin di kaca mata kami mempamerkan keterampilan sebagai pemimpin yang mampu diberikan sokongan penuh untuk memimpin bangsa, agama dan negara. Azmin juga membuktikan ketokohannya memelihara martabat bangsa Melayu khususnya di Selangor.

Kami terpanggil untuk melemparkan catatan ini kerana setiap kali sesi lepak generasi kami di warung-warung dan mamak bistro, soalannya apakah relevan untuk kita terus menamakan tokoh yang sudah 94 tahun atau tokoh yang tidak ada pengalaman memimpin dan hanya menjadi PM sementara atau kita boleh menamakan seorang tokoh muda yang rekod kepimpinannya cemerlang, peduli rakyat dan berwibawa untuk meyakinkan rakyat?

Sudah hampir dua penggal, PH dan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di peringkat negeri. Terbukti sudah, reformasi itu sendiri melahirkan ramai pemimpin yang boleh membawa Malaysia ke hadapan.

Sebagai orang muda yang akan mengundi kali pertama, sudah sampai waktunya, kita memberi laluan kepada pemimpin muda. Teringat saya sejarah politik India di mana percaturan hebat berlaku untuk PM India tetapi posisi yang diambil Mahatma Gandhi sewaktu kemerdekaan India 70 tahun lalu agak mengejutkan. Beliau memberikan laluan kepada Nehru untuk memimpin negara.

Begitu juga di Indonesia, Megawati tak mempunyai pilihan lain untuk menang selain beralah kepada Jokowi sebagai calon presiden. Jika Megawati bertanding pastinya partinya kalah dan musnah.

Masa masih ada untuk membetulkan situasi. Ramai tokoh muda dalam PH yang boleh meyakinkan rakyat. Dengan kepimpinan muda yang bertenaga dan karismatik, kami generasi muda pasti rakyat akan menerima dengan dukungan yang terkuat. Lebih-lebih lagi bertepatan dengan aspirasi anak muda dan seterusnya menggarap imaginasi masa depan Malaysia yang dipimpin oleh orang muda.

Usaha murni negarawan kita Dr Mahathir untuk terus memimpin negara pada usia 92 perlu dihormati. Kita juga akui tanpa Anwar, PH perlu seorang pemimpin yang mampu membawa semua parti dalam PH dalam satu tujuan. Kita juga tahu Dr Mahathir hanya untuk sementara. Namun biarlah peranan itu dalam bentuk sebagai penasihat kepada barisan kepimpinan baru yang bakal ditawarkan PH.

PH perlu berani menawarkan muka baru. Masa depan negara di tangan millinneals Malaysia dan Azmin calon paling sesuai menjadi nakhodanya, dibantu pimpinan muda lain seperti Mukhriz Mahathir, Nurul Izzah Anwar dan ramai lagi untuk memimpin bangsa dan negara pada era Malaysia Baharu. – 21 Disember, 2017.

Sumber: The Malaysian Insight – Amer Hamzah ialah pembaca The Malaysian Insight.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here