Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu pada 19 Disember lepas yang disasarkan kepada penduduk awam di Riyadh, Arab Saudi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata Malaysia memuji tindakan pantas yang diambil oleh pasukan pertahanan Arab Saudi memintas peluru  berpandu  tersebut.

“Malaysia berdiri teguh dalam ikatan perpaduan  dengan Arab Saudi dalam menghadapi tindakan keji ini yang mengancam keamanan dan sekuriti di Arab Saudi.

Keamanan dan sekuriti Arab Saudi adalah penting kepada rantau Arab dan dunia Islam secara keseluruhan.” kata kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata Malaysia mengesa pihak-pihak yang terlibat dalam konflik Yaman supaya menyelesaikan krisis itu secara aman melalui inisiatif Majlis Kerjasama Teluk serta selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa  Bersatu 2216 (2015).

Malaysia juga menggesa pihak-pihak lain tidak mencampuri dalam hal ehwal dalaman Yaman, kata kenyataan tersebut.

Peluru berpandu balikstik yang disasarkan ke Riyadh dilaporkan dilancar oleh puak pemberontak Houthi Yaman. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here