KUALA LUMPUR – Malaysia dan Perancis bersetuju menjalin kerjasama bagi mengukuhkan perkongsian maklumat risikan untuk menangani ancaman kumpulan militan IS yang semakin meningkat, terutama di perairan Sulu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Perancis dalam menangani isu maritim, adalah sesuatu yang bermanfaat.

“Oleh itu, adalah penting mempunyai rakan seperti Perancis untuk mengawal perairan Sulu bersama-sama,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatan dari Perancis, Jean-Yves Le Drian di Wisma Pertahanan di sini Selasa.

Terdahulu, Le Drian dan wakil industri pertahanan Perancis bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat perdana menteri di Perdana Putra, Putrajaya.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin menegaskan wujud peningkatan perhatian di perairan Sulu sekarang selepas kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang dipercayai berpangkalan di Filipina, mengisytiharkan kesetiaan kepada IS.

“Perairan Sulu mesti diselamatkan bagi mengelak kumpulan yang tidak bertanggungjawab (dalam kes ini Abu Sayyaf) yang akan mengawasi perairan itu di bawah sistem khalifah Islam,” katanya.

Dalam hal ini, Hishammuddin berkata Malaysia menganggap Perancis sebagai rakan kongsi negara Eropah dalam bidang pertahanan dan berharap ia akan membawa kepada manfaat bersama bagi kedua-dua negara.

Sependapat dengan pandangan itu, Le Drian berkata isu maritim seperti kegiatan lanun dan keganasan, mesti diambil sebagai satu tanggungjawab oleh kedua-dua negara.

“Ancaman IS adalah antara ancaman terbesar dan telah membimbangkan seluruh negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai perolehan aset ketenteraan, Hishammuddin berkata kementerian itu akan mengkaji cadangan itu yang melibatkan Pesawat Tempur Pelbagai Guna yang dibekalkan oleh French Dassault Aviation Rafale.

“Kami akan lihat kemampuan kewangan kami dengan mengemukakan cadangan itu kepada Kementerian Kewangan sama ada kami akan membeli atau tidak,” katanya.

Pada Mac 2013, Malaysia menyenarai pendek lima jet tempur iaitu Eurofighter Typhoon buatan konsortium Eropah terdiri BAE Systems, EADS dan Finmeccanica; Dassault Aviation Rafale dari Perancis; Boeing s F/A 18E/F Super Hornet; Sukhoi Su-30 buatan Rusia dan SAAB JAS-39 Gripen buatan Sweden.

Mengulas mengenai pembelian helikopter pengangkut Mistral, Hishammuddin berkata ia bagaimanapun tidak dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Perbincangan mengenai Mistral telah disebut dalam pertemuan awal dengan Najib.

Akhbar The French Tribune baru-baru ini melaporkan Malaysia merupakan antara negara yang mungkin berminat untuk membeli sebuah daripada pesawat pengangkut Mistral yang telah ditempah oleh Rusia daripada STX France sebelum membatalkannya selepas kejadian berbalas tembakan di Ukraine pada 2014.

Menurut akhbar Perancis, La Tribune, Malaysia berminat untuk membeli pesawat pengangkut serupa dengan Mistral, sekurang-kurangnya sejak 10 tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here