KL2017

Malaysia bangkit dengan dramatik mengalahkan Singapura 2-1 dalam saingan kumpulan A bola sepak Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Shah Alam, semalam.

Namun, banyak perlu dipertingkatkan akibat kesilapan hantaran dan sering hilang bola sekaligus memudahkan pihak lawan mematahkan serangan.

Separuh masa pertama menyaksikan tidak banyak peluang yang dicipta dan percubaan terbaik skuad negara hanya hadir pada minit ke -15 melalui sepakan akrobatik Muhammad Syahmi Safari namun percubaanya hanya melewati palang gol.

Singapura menyerang Malaysia melalui rembatan dari luar kotak penalti Muhammad Amiruldin Muhammad Nodin pada minit ke-37 untuk gol pertama pasukan kendalian Richard Francis Emily Tardy.

Babak kedua,pengendali skuad negara Datuk Ong Kim Swee melakukan pertukaran membawa masuk Muhammad Nor Azam Abdul Azih menggantikan Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik dan N Thanabalan menggantikan Muhammad Syahmi Safari.

Tindakan Kim Swee itu memberikan impak di bahagian tengah dan Malaysia hampir menyamakan kedudukan pada minit ke -62 melalui rembatan Kumaahran,namun sedikit tersasar.

Usaha berterusan berhasil apabila Muhammad Nor Azam bijak menyudahkan hantaran Muhammad Safawi Rasid pada minit ke -68 untuk gol penyamaan.

Skuad kendalian Kim Swee tidak menunggu lama untuk menggandakan jaringan dengan N Thanabalan menjadi wira melalui gol kemenangan pada minit ke-73.

Keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat ditiup.

Malaysia berkongsi kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan A dengan Myanmar yang mengumpul enam mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here