Malaysia dan Jepun akan mencergaskan semula serta menambah baik Dasar Pandang Ke Timur, bagi memperkukuh kerjasama dan meningkatkan daya saing perniagaan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pendidikan, latihan dan pelaburan antara bidang yang boleh dimanfaatkan Malaysia dan Jepun secara bersama menerusi kerjasama rapat kedua-dua negara itu.

“Kami gembira kerana Jepun menyambut baik sekali lagi Dasar Pandang Ke Timur, dan kita harap dapat meraih manfaat daripada kerjasama rapat antara Jepun dan Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada dasar itu,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe di Tokyo hari ini.

Dr Mahathir juga berharap universiti Jepun akan menubuhkan cawangan mereka di Malaysia.

Abe berkata, Jepun akan terus menyokong pertumbuhan Malaysia, terutama dalam meningkatkan hubungan dua hala ke tahap baharu.

“Menerusi era baharu Dasar Pandang Ke Timur, kita akan membangunkan hubungan, dengan kedua-dua negara kita akan meraih manfaat untuk Malaysia terus makmur, selain mengukuhkan daya saing kebanyakan perniagaan Jepun yang aktif di Malaysia.”

Beliau berkata, dasar baharu itu juga akan menggalakkan pelaburan dan memperluaskan peluang serta ruang kepada ramai rakyat Malaysia untuk aktif di Malaysia dan Jepun.

Katanya, penambahbaikan dasar itu termasuk memperkukuh inisiatif pertukaran dalam pendidikan, memperluas pembangunan sumber manusia serta menggalakkan pemindahan dalam sains dan teknologi.

Dr Mahathir juga berkata, Abe bersetuju mengkaji permintaan Malaysia mendapatkan kredit yen dari Jepun bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan dihadapi negara.

“Penyelesaian semua masalah hutang akan membolehkan Malaysia sekali lagi menjadi pasaran baik untuk Jepun dan pelaburan Jepun di Malaysia.”

Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan bagi mengalihkan tumpuan hubungan dengan Barat ke Asia yang pesat membangun, khususnya Jepun, dan membantu memacu perindustrian di Malaysia.

Dr Mahathir yang dalam lawatan kerja 3 hari ke Jepun, akan belepas pulang petang ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here