Malaysia di landasan tepat untuk muncul sebagai juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan hampir 50 peratus daripada sasaran 111 pingat emas sudah diperoleh, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Dalam sidang media selepas penyampaian pingat acara lompat kijang di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, Khairy berkata KL2017 telah menyaksikan persembahan hebat terutamanya daripada atlet generasi akan datang.

“Kami sedang di landasan untuk mencapai 111 pingat. Semangat kontinjen negara adalah mengagumkan dan sokongan daripada peminat adalah hebat. Bagaimanapun, sukan ini bukan segala-galanya mengenai pingat emas.

“Ia adalah mengenai potensi dan masa hadapan sukan,” katanya sambil menambah tumpuan perlu diberikan kepada atlet muda yang berpotensi.

Pungutan Pingat Semasa Sukan SEA

Khairy juga mengucapkan tahniah kepada pemenang pingat emas lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail, Welson Sim yang meraih emas dalam 200m renang lelaki gaya bebas dan Saidatul Husniah Zulkifli yang mendapat perak dalam 200m wanita.

“Ia adalah kejayaan manis buat Hakimi kerana beliau baru sahaja pulih daripada kecederaan. Saidatul pula, saya percaya beliau mempunyai potensi besar kerana perjalanan masih jauh untuknya. Tahniah,” kata Khairy.

Hakimi mencatat rekod baharu Sukan SEA dan rekod kebangsaan dengan lompatan 16.77m, memecahkan rekod dipegangnya 16.76m yang dilakukan di Sukan SEA Singapura 2015, sementara Welson mencipta rekod baharu Sukan SEA dalam acara 200m lelaki gaya bebas dengan masa 1:47.79s.

Memetik bintang renang Singapura, Joseph Schooling sebagai contoh, Khairy berkata perenang itu hanya muncul di arena antarabangsa tidak lama dahulu dan menggondol pingat emas dalam Olimpik Rio dengan menewaskan perenang legenda, Michael Phelps.

“Welson mempunyai masa hadapan yang cerah. Perjalanan beliau masih jauh. Begitu juga dengan atlet muda kita seperti Khairul Hafiz Jantan yang baharu berusia 19 tahun,” katanya.

Khairul Hafiz yang digelar The Speedy Jantan menyertai acara final 200m malam ini tetapi gagal memperoleh pingat emas dan hanya mendapat tempat keempat, di belakang rakan sepasukan G Aravin Thevar. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here