KUALA LUMPUR : Malaysia menggesa ekonomi-ekonomi APEC agar sentiasa bekerja bersama dengan usaha yang bersepadu bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kewangan di rantau ini.

Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata Malaysia menghargai usaha yang diambil secara bersendirian oleh negara berkenaan, terutama negara maju dalam menangani isu ekonomi dan kewangan, namun mereka harus mempertimbangkan limpahan kesan daripada tindakan mereka terhadap negara lain, terutama negara paling kurang membangun dan lebih mudah terkesan dengan perubahan global.

Johari dipetik berkata demikian dalam satu kenyataan dikeluarkan susulan penyertaan beliau pada Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan APEC selama dua hari bermula semalam, di Cebu, Filipina. Johari yang mengetuai delegasi Malaysia, berkata penyertaan Malaysia pada mesyuarat itu adalah penting bagi menjaga kepentingan negara.

Menurutnya, mesyuarat berbincang dan saling bertukar pandangan tentang unjuran ekonomi dan kewangan global termasuk ketidaksamaan pertumbuhan dalam rantau ini. Mesyuarat juga membincangkan dan meluluskan Pelan Tindakan Cebu (CAP) yang dimulakan oleh Filipina.

CAP digubal bagi menyediakan usul-usul praktikal ke arah mewujudkan komuniti APEC yang lebih bersepadu dari segi kewangan, telus dan berdaya tahan.

Ia mengandungi empat teras iaitu Mempromosikan Integrasi Kewangan; Mengusulkan Pembaharuan dan Ketelusan Fiskal; Mempertingkat Daya Tahan Kewangan; dan Mempercepat Pembangunan Prasarana dan Pembiayaan.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here