Malaysia mahu menjalinkan kerjasama  dengan Maldives dalam industri halal terutamanya dari aspek makanan dan perkhidmatan halal serta pelancongan dan kewangan Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang sedang mengadakan lawatan rasmi ke negara itu, berkata beliau membangkitkan tentang kerjasama industri halal itu pada pertemuan dengan Presiden Maldives Abdulla Yameen Abdul Gayoom di sini, Rabu.

Dalam sidang berita bersama Abdulla Yameen selepas pertemuan empat mata dan mesyuarat delegasi di Pejabat Presiden, Najib berkata pensijilan halal Malaysia sudah pun menjadi satu penanda aras global.

“Kami (Malaysia dan Maldives) boleh bekerjasama walaupun dengan mengeksportnya ke negara ketiga. Kami juga melihat kepada kewangan Islam memandangkan Malaysia peneraju sektor ini,” kata beliau.

Mengenai  bidang pelancongan di mana Maldives terkenal sebagai satu daripada destinasi pelancongan popular dunia, Najib berkata Malaysia kagum dengan keupayaan Maldives membangunkan pulau-pulaunya walaupun menghadapi banyak cabaran termasuk logistik.

Najib berkata kejayaan Maldives ternyata melangkaui jangkaan  dengan membawa beberapa nama besar untuk mengendalikan hotel-hotel di negara pulau itu selain ia mencipta nama sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Maldives merupakan kepulauan  di Lautan Hindi yang merangkumi 1,190 pulau. Hanya 195 pulau sahaja yang didiami dan kira-kira 90 pulau itu dibangunkan sebagai pusat peranginan pelancong.

“Kami ingin mengkaji bagaimana anda mencapai (kejayaan) ini. Saya harap ada peluang bagi syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pelaburan pembangunan sektor pelancongan anda,” kata beliau.

Dalam pada itu, Najib berkata dengan Maldives mengakui Malaysia sebagai model pembangunan ekonomi, ia membuktikan bahawa apa yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia adalah betul.

“(Ini adalah) pengesahan pihak ketiga yang amat penting bagi kami, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda (Presiden Maldives) kerana memberi keyakinan kepada kami bahawa kami berada di landasan yang betul,” kata beliau.

Dalam pertemuan mereka sebelum itu, Abdulla Yameen memberitahu Najib bahawa beliau menganggap Malaysia sebagai model pembangunan ekonomi.

Sambil mengucapkan terima  kasih kepada Najib atas sumbangan Malaysia kepada pembangunan sosioekonomi Maldives sejak sekian lama, beliau menzahirkan harapannya untuk melihat lebih ramai pelabur Malaysia merebut peluang yang ditawarkan di negara pulau ini.

“Kami juga bersetuju untuk mewujudkan mekanisme yang sesuai bagi menggalakkan kerjasama perniagaan, perdagangan dan pelaburan selain meningkatkan kerjasama antara sektor swasta,” kata presiden Maldives itu.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Maldives adalah agak kecil dengan ia lebih memihak kepada Malaysia.

Pada 2016, jumlah perdagangan Malaysia dengan Maldives berjumlah US$117.7 juta, yang meningkat 10.2 peratus berbanding pada 2015. Jumlah eksport ke Maldives mencatatkan US$116.5 juta yang bertambah sebanyak 9.2 peratus manakala jumlah jumlah import dari Maldives meningkat sebanyak 542.7 peratus untuk mencecah US$1.24 juta berbanding 2015.

Mengenai empat Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua negara, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia komited untuk membantu Maldives dari segi sumber manusia khususnya menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan dalam bidang pendidikan.

“Perjanjian hari ini juga mengenai melatih angota bomba dan penyelamat Maldives serta menyediakan tempat untuk rakyat Malvides belajar di Malaysia kerana mereka mendapati negara kita selamat dan selesa selain kita menawarkan kursus-kursus berkualiti  pada kadar yang kompetitif,” kata beliau.

Pada masa ini, terdapat 1,700 rakyat Malvides termasuk 65 pelajar perubatan sedang mengikuti pengajian di Malaysia dan bilangan itu dijangka terus bertambah.

Sementara  itu, dalam sidang berita di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana, Hulhule sebelum beliau dan rombongan berlepas pulang ke tanah air, Najib berkata Presiden Maldives juga berterima kasih kepada syarikat Malaysia yang terlibat dalam beberapa projek pembangunan di negara ini.

Najib berkata antaranya ialah Sime Darby Berhad yang sedang membina hospital swasta dengan kapasiti 300 katil manakala WZR Group sedang membina kompleks pejabat milik Kementerian Kewangan Maldives.

“Walaupun projek ini memerlukan suntikan pinjaman tambahan US$155 juta daripada Exim Bank, saya akan berbincang dengan bank berkenaan supaya projek ini dapat disiapkan kerana ia penting bagi Hulhumale,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Hulhumale, yang akan mempunyai Youth City, adalah pusat pertumbuhan baharu di Maldives dengan kemudahan perumahan bagi golongan muda disediakan dan menjadi pusat pembangunan baharu di republik itu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here