Hubungan Malaysia dan Indonesia sudah melalui pelbagai tahap dan kesukaran bermula dari era Konfrontasi Indonesia-Malaysia yang digerakkan oleh Presiden Sukarno dari tahun 1962 hingga 1966, kempen Ganyang Malaysia yang melatari era berkenaan, isu-isu remeh yang sering dibangkitkan oleh segelintir warga Indonesia seperti hal berkaitan tuntutan hak mereka terhadap kuih tradisional, tarian tradisional, pakaian dan perkara-perkara budaya.

Kejadian jerebu di Malaysia akibat kebakaran hutan di Indonesia juga menjadi antara isu yang mewarnai hubungan kedua-dua negara. Hal berkaitan tenaga kerja Indonesia di Malaysia, penderaan pembantu rumah Indonesia oleh warga Malaysia juga sering menjadi isu yang membangkitkan kemarahan.

Walaupun hidup dalam satu rumpun dan mengamalkan corak kebudayaan yang hampir sama, namun hubungan kedua-dua negara kadangkala berada pada fasa yang tegang, tetapi masih terkawal. Menguruskan hubungan melibatkan kedua-dua negara ini memerlukan sifat keterbukaan di samping kebijaksanaan dalam memahami isu serta sensitiviti kedua-duanya.

Baru-baru ini ketika acara perasmian temasya Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur telah timbul satu isu yang sebenarnya agak sensitif apabila Menteri Belia dan Sukan Indonesia berjaya mengesan bendera negaranya telah dicetak secara terbalik dalam buku cenderamata rasmi sempena acara perasmian berkenaan. Menteri Indonesia berkenaan telah memuat naik gambar muka surat pada buku itu di lama Twitter beliau dan dengan pantas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin terus membalas Twitter berkenaan dan menyatakan permohonan maaf.

Sikap terbuka dan berani Khairy tidak terhenti setakat itu, malah beliau mengetuai delegasi Malaysia bertemu dengan delegasi Indonesia untuk menyatakan permohonan maaf. Sikap Khairy ini sebenarnya amat penting dan jelas beliau mahu menyelesaikan isu berkenaan secara baik dan penuh berhemah. Permohonan maaf itu merupakan satu tanda keakuran kepada kesilapan yang berlaku di samping menunjukkan secara jelas bahawa ia bukan satu kesilapan yang disengajakan.

Namun begitu, respon segelintir warga Indonesia terhadap isu ini sangat berlebih-lebihan sehingga mendapat teguran Presiden Indonesia, Joko Widodo. Malah selama beberapa hari berlaku demonstrasi bantahan terhadap isu berkenaan di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta. Mereka menganggap Malaysia sengaja mahu menghina Indonesia dan mereka juga berpandangan itu ialah satu tindakan yang disengajakan.

Kewujudan kelompok sebegini juga merupakan perkara yang membahayakan kerana mampu mengheret ke keadaan yang lebih serius. Namun begitu, warga Indonesia seperti ini sebenarnya wajar mengingati kembali peristiwa di acara Renang Sukan SEA di Palembang pada 2011 apabila bendera Malaysia yang dinaikkan ketika acara kalungan pingat tidak sempurna apabila jalur pada bendera berkenaan tidak cukup.

Namun respon Malaysia pada ketika itu tidak berlebih-lebihan seperti ini malah berjaya diselesaikan dengan baik dan harmoni. Diharapkan isu yang sedang berlaku sekarang juga dapat diselesaikan dengan baik memandangkan perjalanan hubungan kedua-dua negara amat penting dalam mencorakkan rantau Asia Tenggara. Hubungan seperti adik-beradik ini boleh diibaratkan seperti air dicincang tak akan putus.

Ayuh Malaysia dan Indonesia! Ambillah semangat lagu Sahabat Selamanya dendangan kumpulan Padi dari Indonesia dan karakter kartun popular negara, Upin dan Ipin kemudian lupakan segala yang berlaku kerana jelas ia bukan isu yang disengajakan, kita bina hubungan yang lebih baik dan sempurna untuk kejayaan bersama-sama!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here