Pihak pembangkang sering memberikan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan rakyat di samping selalu memberi gambaran kepada dunia bahawa Malaysia ini merupakan sebuah negara yang teruk dan ditadbir oleh sebuah Kerajaan yang buruk.

Pelbagai kecaman dan tohmahan yang kebanyakannya tidak berasas dilemparkan sesuka hati tanpa memikirkan implikasinya terhadap kemakmuran dan pandangan dunia terhadap negara yang dicintai ini.

Disebabkan terlalu gemar memberikan imej buruk kepada negara, pembangkang kadangkala dilihat keliru antara matlamat politik dan matlamat besar sebagai rakyat di Malaysia.

Adalah amat tidak benar untuk selalu melihat negara ini sebagai sebuah negara yang teruk tanpa ada apa-apa pencapaian yang boleh dibanggakan.

Dalam keadaan ini pihak pembangkang perlu membuat penilaian yang matang bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang kedudukan Malaysia di mata dunia.

Baru-baru ini Institute For Economic and Peace (IEP) telah mengeluarkan laporan Indeks Keamanan Dunia 2017 dan apa yang membanggakan Malaysia mencatatkan kedudukan memberangsangkan di tempat ke-29 daripada 163 negara yang diselidiki.

Selain itu, untuk kedudukan di rantau Asia Pasifik Malaysia berada di tempat ke-5 di belakang New Zealand, Jepun, Australia dan Singapura.

Secara puratanya Malaysia mendapat skor dan kedudukan yang baik dalam pelbagai kategori di laporan berkenaan dan ini menjelaskan kepada kita bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang aman dan tidak berdepan sebarang konflik yang membahayakan.

Ini membuktikan dasar kawalan keselamatan dan pertahanan negara berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan yang diiktiraf dunia.

Pengiktirafan dunia seperti ini sebenarnya perlu disebarkan bagi membolehkan rakyat memahami bagaimana dunia menilai Malaysia sebagai negara contoh.

Lebih membanggakan dalam senarai berkenaan, Malaysia merupakan negara majoriti Islam yang berada di kedudukan terbaik mendahului Qatar yang berada di tempat ke-30.

Ini sekaligus bakal meningkatkan lagi reputasi Malaysia sebagai negara Islam contoh di peringkat global melalui pelbagai pendekatan kesederhanaan yang digerakkan oleh Kerajaan.

Apa yang dibuktikan melalui laporan ini secara tidak langsung mampu memberikan gambaran bahawa pengukuhan berterusan ekonomi negara telah menyumbang kepada peningkatan keupayaan terhadap keamanan negara secara menyeluruh.

Walaupun hidup dalam keadaan berbilang bangsa dan agama, tetapi kemampuan rakyat Malaysia untuk mengekalkan keharmonian tanpa ada pergeseran yang besar telah menjadi kunci kepada kejayaan ini sehingga mendapat pengiktirafan seperti yang dapat dilihat dalam laporan yang disediakan oleh IEP itu.

Melalui usaha yang berterusan, Malaysia sebenarnya berjaya membentuk masyarakat yang mencintai keamanan, kedamaian dan kemakmuran dan hal ini merupakan perkara paling bernilai di saat kita mahu merayakan Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

Sebagai sebuah negara berdaulat, keamanan menjadi kunci terpenting untuk mengekalkan kestabilan negara dari pelbagai aspek dan hal ini menjadi perkara terpenting yang harus terus dipelihara.

Walaupun berlaku perbezaan pandangan dari sudut politik, namun hal berkenaan tidak wajar dijadikan alasan untuk kita mengusik keamanan yang sedia dibentuk ini.

Peliharalah segala-galanya demi nikmat untuk generasi akan datang dan seterusnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here