Lebih kurang 1,000 peserta bakal berentap di dalam sembilan jenis permainan video popular menerusi acara kali ke dua e-sukan Malaysia Cybergames 2018 (MCG18) yang akan berlangsung pada 13 dan 14 Januari ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Antara jenis permainan yang akan dipertandingkan adalah seperti Counter Strike, Dota 2, Fifa 2018, Street Fighter, F1 2017 Racing dan sebagainya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, menyedari potensi dan minat golongan belia dalam industri permainan digital ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membangunkan sektor ini khususnya dalam mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi meneruskan pembangunan e-sukan ini.

“Daripada aspek pasaran dan penggunaannya, sektor ini telah menghasilkan pendapatan sebanyak AS$587 juta pada 2017 serta terdapat lebih 14 juta pemain di mana 7.8 juta daripadanya merupakan pelanggan berbayar.

“Selain mengiktiraf e-sukan sebagai sukan rasmi pada 2015 dan pelancaran Akademi eSport pada 2017, aktiviti sokongan seperti Sukan Cyber Malaysia juga dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran dan pembangunan sektor ini.

“Bagi saya sektor e-sukan ini juga satu platform yang dapat memperkukuhkan semangat perpaduan serta setia kawan golongan anak muda berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya pada majlis Prapelancaran Malaysia Cybergames 2018, hari ini.

Beliau turut mengumumkan tiket masuk ke acara tersebut adalah percuma.

“Acara pertama yang dijalankan pada 2015, tiket masuknya telah habis dijual seminggu sebelum hari pertandingan bermula.

“Tapi tahun ini setelah berbincang dengan penganjur, kita bersetuju untuk berikan tiket secara percuma bagi mengelakkan peminat acara ini terutamanya golongan muda tidak terbeban dengan pembelian tiket,” katanya.

Sementara itu, selaku penganjur, Presiden Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia Datuk Armand Azha Abu Hanifah yakin acara tersebut bakal melahirkan lebih ramai juara di kalangan amatur di peringkat Malaysia untuk diketengahkan.

“Kita tahu di Malaysia, bukan hanya permainan Dota yang semakin meningkat naik tapi terdapat juga beberapa permainan baharu turut sama menjadi perhatian sama seperti permainan lain yang kita tawarkan.

“Disebabkan itu, kita juga sedar bahawa pengikut e-sukan di negara ini juga semakin berkembang,” katanya.

MCG18 yang dianjurkan oleh Suara Anak Muda 1Malaysia dengan kerjasama Tune Advertising Sdn Bhd menyediakan jumlah keseluruhan hadiah bagi sembilan jenis permainan sebanyak RM300,000.

Acara yang mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ini adalah kali ke dua diadakan selepas anjuran pertama di Stadium Negara Kuala Lumpur pada 12 dan 13 Disember 2015 yang menerima sambutan hangat dengan kunjungan lebih 7,000 pengunjung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here