Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia bersetuju memberi kerjasama penuh bagi melengkapkan siasatan ke atas skandal 1MDB, susulan pertemuan antara Pasukan Petugas Khas 1MDB dan pegawai dari Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) hari ini.

Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam satu kenyataan hari ini berkata, pertemuan itu diadakan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, 11 pagi tadi.

“Hasil daripada mesyuarat ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi menyempurnakan siasatan yang dijalankan. Perjumpaan bagi memberi bantuan akan dijalankan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Pertemuan hari ini dipengerusikan Pasukan Petugas Khas 1MDB yang terdiri daripada ketua bersama Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Abu Kassim Mohamed, serta 2 ahli barunya, Datuk Seri Shukri Abdull dan Datuk Abdul Hamid Bador.

Menurut kenyataan itu, antara topik perbincangan mereka ialah hala tuju dan fokus siasatan 1MDB, permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dan proses membawa semula aset yang dibekukan di Amerika Syarikat.

“Antara isu yang dibangkitkan ialah permohonan pihak FBI yang telah menghantar surat permohonan bertarikh 13 November 2016 kepada Tan Sri Dzulkifli Ahmad, ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, tetapi permohonan tidak mendapat maklum balas sehingga hari ini.

“Pihak DoJ juga mengesahkan ada membuat permohonan melalui MLA kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 22 September 2017.

“Bagaimanapun, permohonan ini tidak dipenuhi dan ditangguhkan atas alasan ia akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa di Malaysia. Oleh itu, tiada kerjasama diberikan sehingga hari ini,” menurut kenyataan itu.

Pasukan Petugas Khas 1MDB berkata, DoJ dan FBI mengucapkan terima kasih atas kerjasama kerajaan baru di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memandangkan tiada tindakan berkaitan 1MDB diambil kerajaan terdahulu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here