PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja ke Washington D.C., Amerika Syarikat (AS) pada 12 September depan di atas jemputan Presiden AS, Donald Trump.

Malaysia dan AS menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun ini dan hubungan itu dipertingkatkan ke perkongsian yang komprehensif di bawah kepimpinan Najib.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan hal-hal berkepentingan bersama termasuk keselamatan negara, usaha menentang aktiviti keganasan dan ekstremisme serta perdagangan dan pelaburan yang dapat dinikmati oleh rakyat kedua-dua negara.

Persoalannya, salahkah Najib ke AS bagi memenuhi jemputan Trump?

Ternyata ianya merupakan penghormatan kepada Najib yang mendapat jemputan tersebut tatkala nama beliau cuba diburukkan di AS.

Pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas Najib kononnya pertemuan itu adalah untuk mengalihkan perhatian terhadap dokumen yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) berhubung syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jika Najib mempunyai masalah dari segi siasatan 1MDB, adakah Trump akan bertemu dengan beliau?

Sudah tentu tidak kerana Trump juga pasti mahu menjaga reputasinya.

Pertemuan itu berlaku ketika Najib sudah disahkan bersih namanya oleh agensi siasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Pejabat Peguam Negara.

Betapa ceteknya pemikiran mereka yang membuat tuduhan itu kerana menyangka Trump begitu bodoh dan boleh dimanipulasi oleh Najib.

Trump adalah Presiden AS yang merupakan sebuah negara kuasa besar dunia. Masakan Trump akan tunduk kepada sesiapa sahaja?

Trump sendiri juga telah menyatakan beliau tidak mempercayai DoJ.

Ia ekoran DoJ, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) mendakwa bahawa terdapat campur tangan dari Russia semasa pilihan raya Presiden Amerika Syarikat 2016.

Jika ada rakyat negara ini sibuk membangkitkan isu seperti 1MDB dan derma RM2.6 bilion, Najib pula sibuk mencari pelaburan luar bagi kebajikan rakyat dan kemajuan negara.

Jemputan AS itu membuktikan negara kuasa besar dunia yang kini di bawah pemerintahan Trump terus menunjukkan keinginan untuk meningkatkan lagi hubungan mereka dengan Malaysia.

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson juga telah melawat negara ini selama dua hari bermula 8 Ogos 2017.

Lawatan Tillerson itu mencerminkan komitmen AS di bawah pentadbiran Trump untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Ia juga adalah lawatan sulung Tillerson ke Malaysia sejak dilantik sebagai Setiausaha Negara pada 1 Februari 2017.

Dalam tempoh Januari 2017 hingga Jun 2017, jumlah dagangan dalam barangan antara Malaysia dan AS terus meningkat sebanyak 20.4 peratus bernilai RM81.1 bilion (US$18.4 bilion).

Imbangan dagangan barangan itu memihak kepada Malaysia dengan nilai RM5.38 juta (US$1.22 juta) manakala imbangan dagangan dalam perkhidmatan berpihak kepada AS dengan nilai RM1.78 bilion (US$429 juta).

Malaysia dan AS juga sepakat dalam membanteras kegiatan keganasan dan ini terbukti dengan penglibatan kedua-dua pemimpin negara itu pada Sidang kemuncak negara-negara Arab, Negara-negara Islam dan AS di Riyadh, Arab Saudi pada 21 Mei 2017.

Adakah semua itu berlaku kerana Najib membuat bayaran terlebih dahulu?

Jemputan ke White House atas jemputan Trump itu menunjukkan betapa hebatnya Najib. Beliau tidak perlu mengeluarkan duit untuk berjumpa dengan Trump.

Tidak seperti semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu menemui Presiden AS George W. Bush dahulu.

Pada 2002, Pejabat Kedutaan Malaysia di AS mengesahkan Mahathir telah membayar AS$1.2 juta (RM.4.4 juta pada 2002) kepada pelobi, Jack Abramoff untuk mengatur pertemuan tersebut.

Pengesahan bayaran tersebut dinyatakan dalam laporan akhir Jawatankuasa Senat mengenai Hal Ehwal Pribumi Amerika yang dikeluarkan pada 2006 dan ia pernah disiarkan oleh Malaysiakini.

Berbeza dengan Najib. Perdana Menteri tidak perlu membuat bayaran sebaliknya dijemput sendiri oleh Trump.

Apakah maksud daripada jemputan itu?

Maksudnya adalah Najib dipandang tinggi oleh AS dan Trump dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Salahkah AS dan Malaysia komited dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara?

Persoalan ini perlu dijawab sendiri oleh rakyat terutama pembangkang yang membuat pelbagai dakwaan mengenai jemputan Trump ke atas Najib.

Kalau pembangkang tidak dapat menjawab, kita tahu selama ini mereka hanya mencipa kepalsuan semata-mata mahu mengelirukan rakyat demi memenuhi cita-cita menghancurkan negara yang tercinta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here