KUALA LUMPUR, 13 Sept – Malaysia Airlines yang memulakan operasi pada 1 Sept, kini bersedia untuk mencapai kejayaan selepas menyelesaikan banyak bebanan dan sekarang masa untuk berusaha gigih serta komited bagi memastikan kelangsungannya, menurut seorang pakar ekonomi hari ini.

Dalam era baharu yang sarat dengan persaingan hebat antara benua dan rantau, hanya yang benar-benar kukuh akan dapat bertahan, Ahmad Zakie Ahmad Shariff melahirkan keyakinan MAS yang kini diambilalih oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB) boleh mengembalikan semula kegemilangannya, dan tidak lagi menjadi syarikat penerbangan lama yang lemah, dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu ke arah mencapai standard operasi global.

Ahmad Zakie, yang merupakan CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan, berkata beliau kagum dengan penstrukturan semula menyeluruh yang dilaksanakan Khazanah Nasional Bhd sejak setahun yang lepas, untuk syarikat penerbangan berkenaan bersaing pada kedudukan lebih kukuh dalam industri yang sengit itu.

“Saya akan menjadikannya mudah. Apa-apa kejayaan atau kegagalan dari saat sini kesemuanya adalah di bahu warga syarikat itu dan tidak boleh lagi dikaitkan dengan isu yang lama. Dalam kata lain, MAB anda sekarang perlu berdikari atas usaha sendiri,” katanya.

Penstrukturan semula sejak setahun lepas, antara lain, menyaksikan MAB dan Brahim’s Airline Catering Sdn Bhd (Brahim’s) memeterai perjanjian katering baharu, yang ditanda aras mengikut standard antarabangsa dan amalan terbaik, satu pencapaian yang penting sepanjang kewujudan syarikat penerbangan nasional itu bagi mempertimbangkan semula kontrak pembekalnya, yang sekian lama dikatakan menjadi sebab kepada struktur kos yang tinggi.

Pada awal Mac, Brahim’s bersetuju untuk mengurangkan 60 peratus bayarannya daripada syarikat lama, Malaysian Airline Systems Bhd, berjumlah RM94.04 juta serta penurunan 25 peratus dalam bil bulanan terakhir.

Sebaik sahaja Brahim’s berjaya membuka laluan rundingan semula kesemua kontrak, adalah dijangkakan kajian semula sedang dilaksanakan ke atas 4,000 kontrak yang akan membantu mengurangkan jurang 20 peratus kos operasi yang tinggi dengan pesaingnya.

Sebagai tambahan, syarikat penerbangan nasional itu turut menamatkan penerbangan bagi laluan tidak menguntungkan, dengan rancangan untuk menjual pesawat bagi mengurangkan kos.

Lebih banyak penjimatan kos akan diperoleh MAB dengan lebih daripada 100 projek atau usaha dikenal pasti bakal meningkatkan pendapatan dan mengoptimumkan kos.

Ahmad Zakie berkata langkah itu akan membawa kepada kecekapan dalam MAB yang boleh dinilai oleh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh CEO MAB, Christoph R. Mueller, untuk 12 bahagian, yang setiap satu perlu berupaya dan berkembang secara sendiri bagi membolehkan MAB berfungsi sebagai entiti kukuh dari segi kewangan dan komersial.

“Dan tenaga kerja yang dikecilkan kepada 13,000 orang berkhidmat di MAB mulai 1 Sept juga akan membantu mengurangkan kos operasi,” katanya.

Khazanah Nasional, dalam laporan kemajuan terbarunya berkata, susulan daripada perubahan dari MAS kepada MAB setahun selepas ia diputuskan, penstrukturan semula itu menunjukkan kemajuan berterusan dalam semua bidang utama di bawah pelan 12 perkara selama lima tahun.

Baru-baru ini apabila MAB memulakan operasi, Mueller bersama-sama pasukannya menyambut ketibaan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ia menunjukkan satu usaha penglibatan yang baik dan menandakan syarikat penerbangan itu melihat dirinya sebagai perniagaan yang dipacu oleh perkhidmatan dan bukan semata-mata sebagai penyedia pengangkutan.

“Pendekatan berorentasikan perkhidmatan ini memberi mesej yang jelas bahawa Mueller mahu kakitangannya menumpukan kepada penumpang dan melaksanakan perkhidmatan yang hebat, memandangkan penumpang adalah nadi syarikat penerbangan itu.

“Pertukaran kepada pesawat lebih baharu dan cekap bahan api sudah dilaksanakan, seperti yang boleh dilihat daripada pajakan empat pesawat baharu Airbus A350s baru-baru ini, akan meningkatkan kecekapan keseluruhan kumpulan pesawat dan menyediakan keselesaan istimewa kepada penumpang, yang menjadi satu aspek penting dalam meningkatkan muatan penumpang,” kata Ahmad Zakie.

Centre for Aviation (CAPA) melaporkan Malaysia Airlines adalah satu daripada 16 syarikat penerbangan awam di Asia Tenggara yang meningkatkan keuntungannya dalam tempoh separuh pertama 2015 dan ini, katanya, satu petanda baik bagi tahun pertama usaha penstrukturan semula.

“Bagaimanapun, cabaran kewangan baharu mengancam keuntungan MAB, penurunan harga minyak tidak diterjemahkan secara langsung kepada penjimatan oleh Malaysia Airlines, kerana penyusutan ringgit menyebabkan ketakpadanan antara pendapatan yang diperoleh dalam ringgit dan perbelanjaan yang dibayar dalam dolar Amerika Syarikat,” kata pakar ekonomi itu.

Sumber: BERNAMA

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here