Setelah beberapa minggu bergelut dan cuba mencari jalan penyelesaian berhubung isu usaha segelintir pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu mengadakan kerjasama dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam pilihan raya umum akan datang bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk PH tidak akan menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam pilihan raya umum akan datang. Di samping itu, PH juga sedang merangka strategi paling berkesan untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru.

Kenyataan ini telah diletakkan di laman Facebook Rasmi PH dan dilihat sebagai memberi amaran kepada pemimpin PKR yang diketuai Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden parti berkenaan, Dato’ Seri Azmin Ali untuk segera berhenti daripada terus mengharapkan PAS, sebaliknya memberikan fokus kepada usaha pengukuhan dalam PH. Tindakan ini juga bertujuan memastikan PKR menetapkan pendirian untuk terus bersama-sama PH.

Apa yang dilakukan oleh Majlis Presiden PH ini sewajarnya dipatuhi oleh PKR dan tidak lagi perlu wujud sebarang usaha untuk memujuk PAS bagi bersama-sama dengan pakatan pembangkang itu untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN). Kita semua sedar Azmin amat mengharapkan sokongan PAS kerana Kerajaan Negeri Selangor yang sedang berdiri hari ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan kuat PAS dan jentera akar umbinya. Malah kerusi-kerusi yang ditandingi Azmin sendiri merupakan kerusi tradisi PAS yang diserahkan kepada beliau.

Azmin jelas melihat bahawa walaupun PH memiliki Parti Amanah Negara (AMANAH), namun parti berkenaan dilihat tidak memiliki kekuatan seperti PAS dan tidak mampu untuk memberikan saingan sengit dan membantu untuk mengukuhkan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan beliau. Ini yang terjadi apabila Azmin masih mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan belum membentuk sebarang organisasi rasmi PH di Selangor. Tindakan ini juga menimbulkan tanda tanya kerana pendirian tetap Azmin sukar untuk dijangkakan dalam hal ini.

Di samping itu cadangan itu melihatkan sebuah gabungan campuran di Selangor dengan melibatkan PH dan PAS juga dilihat sebagai usaha tidak bersesuaian oleh parti-parti lain dalam PH, khasnya AMANAH. Bagi pemimpin AMANAH yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, keadaan yang berlaku di Selangor kini hanya akan mengelirukan rakyat kerana PAS secara terus-terusan menentang PH dan dilihat tidak berminat untuk mengadakan sebarang kerjasama dengan PH.

Keputusan Majlis Presiden ini sewajarnya dihormati oleh Azmin dan usaha membawa PAS untuk bekerjasama wajar dihentikan segera. Jika mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang, PKR perlu memberikan kerjasama penuh terhadap PH dan tidak mementingkan diri sendiri. Benar PH ini gabungan politik baru dan sudah tentu berdepan pelbagai masalah, tetapi apa yang perlu difikirkan ialah pandangan rakyat terhadap usaha pengukuhan gabungan ini. Bagaimana masih wujud rasa sangsi terhadap kejujuran parti-parti yang menganggotai gabungan ini.

Jika ditakdirkan pilihan raya umum akan datang, PH berjaya mencapai kemenangan yang signifikan di Selangor, adakah PAS masih diharapkan untuk menjadi sebagai sebahagian daripada anggota pentadiran di negeri berkenaan, atau AMANAH sudah boleh menggantikan tempat PAS. Persoalan-persoalan ini hanya boleh dijawab jika arahan Majlis Presiden ini dipatuhi dan PKR memberi tumpuan sepenuhnya terhadap jentera pilihan raya dan tidak lagi dibuai angan-angan untuk kembali bertaut bersama-sama PAS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here