Majlis Peguam hari ini mengutuk satu siri serangan ke atas Datuk S Ambiga, susulan keputusan polis untuk menyiasat peguam itu selepas beliau dinamakan dalam satu afidavit pembelaan yang difailkan di London atas dakwaan pemberian dana RM90 juta kepada PAS.

Presidennya, George Varughese berkata, Ambiga nampaknya menjadi sasaran dan memberi amaran gangguan atau tindakan menakut-nakutkan sama dengan menghina mahkamah di United Kingdom.

“Ada banyak kenyataan rasis dan seksis yang kejam dilemparkan ke atasnya oleh pelbagai individu dan satu laporan polis mengenai hubungannya yang didakwa berkaitan saman itu,” katanya.

“Kami mengutuk serangan peribadi ini.”

Polis dilaporkan berkata, mereka akan menyiasat Ambiga di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 berdasarkan laporan Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London, pada 21 April lalu, terhadap satu artikel Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Datuk Seri Najib Razak “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Pada 29 Oktober lalu, media melaporkan Clare Rewcastle-Brown dalam tuntutan balas terhadap saman fitnah difailkan presiden PAS itu mendakwa beliau dan Ambiga ada bercakap mengenai Najib, 1MDB dan PAS pada Julai 2016.

“Ambiga memberitahu defendan sumbernya yang dikatakan boleh dipercayai, menganggarkan jumlah yang dibayar itu sekitar RM90 juta,” kata Clare dalam afidavitnya bertarikh 11 Oktober lalu.

Clare dalam pembelaannya menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pemimpin PAS dari kumpulan ulama yang didakwa menerima wang daripada dana disyaki milik 1MDB.

Varughese berkata, perkara itu belum dibuktikan dalam mahkamah, oleh itu tiada asas undang-undang untuk menyiasat Ambiga.

“Siasatan sedemikian sama dengan gangguan dan/atau menakut-nakutkan seorang saksi berpotensi.”

Katanya, mahkamah terlebih dahulu perlu memastikan jika Ambiga pernah memaklumkan Clare seperti yang didakwanya.

“Jika terbukti benar, mahkamah UK kemudiannya akan menentukan kesahihan maklumat itu.

“Jika tidak dapat dibuktikan Ambiga memberitahu maklumat itu kepada Rewcastle Brown, atau jika maklumat itu tidak benar, maka Rewcastle Brown gagal mempertahankan diri dalam pembelaan dan tuntutan balasnya.”-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here