Tahniah kepada semua graduan yang kini sedang sibuk menghadiri proses konvokesyen di tempat pengajian masing – masing. Sudah pasti objektif utama yang sedang difikirkan oleh semua graduan selepas selesai tamat proses pengajian dan konvokesyen mereka kini ialah mencari peluang – peluang pekerjaan serta menjana pendapatan mereka sendiri.

Namun realiti mencari pekerjaan pada masa kini tidak semudah seperti yang difikirkan dengan mengambil kira pelbagai faktor yang mempengaruhi penawaran peluang pekerjaan itu sendiri seperti faktor keadaan ekonomi semasa, faktor jumlah graduan yang mencari pekerjaan, faktor kebolehpasaran graduan itu sendiri dan lain – lain lagi.

Antara yang sering menjadi halangan bagi mana – mana graduan untuk mencari perkerjaan ialah syarat – syarat yang dikemukakan oleh pihak majikan itu sendiri yang kadang kala dilihat tidak realistik serta menutup segala peluang khususnya kepada para graduan yang baru hendak memulakan alam pekerjaan seperti syarat untuk memiliki pengalaman selain daripada syarat kelayakan akademik.

Tidak dapat dinafikan, faktor untuk memiliki pengalaman dalam sesuatu bidang pekerjaan adalah penting bagi memudahkan perjalanan pekerjaan. Dengan adanya pengalaman, sesuatu jenis pekerjaan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, berkesan serta tidak membawa beban kepada pihak majikan dan organisasi yang terlibat. Walaupun begitu, syarat pengalaman ini akan menyukarkan pihak graduan yang baru selesai menjalani proses pengajian mereka.

Adalah mustahil untuk para graduan yang rata – ratanya berada pada usia muda untuk memiliki pengalaman bagi mengisi penawaran pekerjaan yang ada. Setiap orang memerlukan satu tempoh tertentu bagi memiliki serta menguasi segala bentuk pengalaman seperti yang dikehendaki oleh kebanyakkan majikan pada masa kini. Adalah tidak adil sekiranya syarat pengalaman sering dijadikan sebagai syarat utama bagi setiap penawaran pekerjaan yang dibuat oleh pihak majikan.

Majikan yang baik adalah majikan yang betul – betul faham terhadap keadaan graduan yang baru selesai menamatkan pengajian mereka yang selalunya tidak memiliki pengalaman yang banyak. Majikan yang baik juga akan sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada para graduan yang telah diterima bekerja untuk menimba segala bentuk pengalaman dengan menghantar mereka untuk menjalani sesuatu kursus atau proses latihan jangka pendek.

Pihak majikan seharusnya mengambil langkah bijak serta berfikir panjang dengan mengangap graduan yang tidak memiliki pengalaman yang banyak ini sebagai satu aset atau pelaburan penting buat jangka panjang yang boleh membawa keuntungan dan kejayaan kepada organisasi mereka.

Sekiranya para graduan yang masih muda dan bertenaga ini diberi segala ruang, peluang dan latihan yang sepatutnya mereka dapat menjana lebih banyak produktiviti dan pulangan kepada organisasi mereka sendiri. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk pihak majikan mengetepikan syarat untuk memiliki pengalaman sebagai syarat utama bagi sebarang proses penawaran pekerjaan bagi memberi ruang dan peluang kepada graduan kita yang baru hendak menjejakkan kaki mereka ke alam pekerjaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here