Felda

IKRAR 100 Hari Pakatan Harapan setelah mereka berjaya merampas Putrajaya adalah bagi memulihkan Felda.

Kenapa Pakatan Harapan begitu memberikan tumpuan kepada Felda?

Adakah benar hasrat mereka untuk memulihkan Felda atau sekadar mahukan undi dari masyarakat Felda?

Ini kerana umum mengetahui, 54 kerusi Parlimen sememangnya berada dalam kawasan Felda.

Sehubungan itu, undi masyarakat Felda realitinya mewakili 67 peratus daripada keseluruhan kerusi luar bandar.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), daripada 54 kerusi Felda, hanya enam dimenangi Pakatan Rakyat dan selebihnya milik Barisan Nasional (BN).

Pakatan Rakyat yang sebelum ini diwakili PAS memenangi kerusi Parlimen Felda di Kuala Nerus, Dungun dan Temerloh, Raub dan Kulai dan Sungai Siput.

Jelas sekali, bukan sahaja BN, Pakatan Harapan juga sudah tentu mengharapkan undi dari masyarakat Felda.

Bagaimana Felda ditubuhkan? Dan untuk tujuan apa ianya ditubuhkan?

Untuk warga peneroka, mereka pastinya mengetahui sejarah Felda.

Felda ditubuhkan hasil inisiatif dan idea Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Di awal kemunculan nama Felda, ramai yang menimbulkan rasa ragu dan kurang yakin terhadap inisiatif tersebut.

Namun, akhirnya FELDA terbukti mampu merubah kehidupan rakyat khususnya para peneroka serta generasinya.

Sebelum menjadi peneroka, ada dalam kalangan mereka terpaksa tinggal di kampung tradisi dan ada di antara mereka yang tiada pekerjaan tetap.

Ada juga sebahagian daripada mereka menumpang di rumah saudara-mara kerana tiada rumah sendiri.

Apabila menyertai Felda, mereka diberikan tanah suku ekar dan sebuah rumah satu bilik dengan tandas di luar rumah.

Tetapi kini, rumah peneroka Felda sudah jauh berbeza daripada mula-mula mereka menjejakkan diri ke kawasan tanah rancangan masing-masing.

Jika tidak percaya, kita boleh pergi melihat dengan mata sendiri keadaan rumah para peneroka, mahupun rumah generasi kedua Felda.

Ternyata bentuk dan nilai rumah mereka sekarang ini jauh lebih baik berbanding sebelum ini, malah ada dalam kalangan para peneroka sudah mampu mendirikan rumah agam atau rumah banglo hasil daripada usaha melalui Felda.

Adakah masyarakat Felda diabaikan dalam aspek pembangunan sosio-ekonomi negara?

Anak generasi Felda hari ini dapat melihat sendiri bagaimana perkembangan taraf sosio-ekonomi ibu bapa dan keluarga mereka.

Daripada tinggal di pondok buruk di perkampungan tradisi, berpindah ke rumah Felda dan hari ini rumah berkenaan melalui proses baik pulih atau dibina baharu menjadi banglo mewah.

Adakah Felda membantu warga peneroka memiliki kediaman yang selesa?

Sesungguhnya warga peneroka cukup bertuah apabila Felda menyediakan pinjaman tanpa faedah.

Kemudahan pinjaman ini diwujudkan pada tahun 2005 bertujuan memberi kemudahan kepada peneroka membina semula atau mengubah suai rumah di tanah rancangan.

Pinjaman dipertimbangkan kepada peneroka yang layak dengan jumlah RM 10,000 sehingga RM 40,000.

Pinjaman tanpa faedah ini terbuka kepada peneroka yang layak dan berumur tidak melebihi 70 tahun semasa pinjaman diluluskan.

Caj perkhidmatan hanya sebanyak 2.5 peratus dikenakan untuk sekali sahaja sepanjang tempoh pinjaman bagi menampung kos pengurusan. Maksima tempoh bayaran balik pinjaman pula ialah selama 15 tahun.

Pinjaman tanpa faedah itu juga disediakan untuk peneroka melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Adakah terdapat institusi dalam negara yang menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada warganya?

Ternyata masyarakat Felda begitu bertuah tinggal di tanah rancangan.

Pelbagai kemudahan disediakan oleh pihak Felda bagi memastikan masyarakatnya tidak ketinggalan daripada arus pembangunan negara.

Adakah benar dakwaan Felda akan bankrap?

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad berkali-kali menepis tohmahan pembangkang kononnya Felda akan bankrap.

Felda masih mempunyai aset pelaburan bernilai RM5.4 bilion dalam bentuk saham tersenarai yang boleh ditunaikan bagi memulih aliran tunai.

Namun apa yang paling penting, Shahrir menegaskan, peneroka dan kebun mereka tidak akan terjejas kerana pelaburan Felda tidak menggunakan wang peneroka, sebaliknya wang pendapatan daripada aktiviti perniagaan sejak dahulu.

Macam mana hendak bankrap?

Felda ada RM5.4 bilion dalam saham yang tersenarai. Kalau dikatakan dicagar RM3 bilion kepada bank untuk mendapat pinjaman, Felda masih ada RM2 bilion dan itu satu jumlah yang besar.

Ini bukan harta peneroka, tetapi hasil daripada pelaburan yang dibuat dahulu.

Kenapa pembangkang berterusan mendakwa Felda akan bankrap?

Tujuan hanya satu, iaitu untuk mengalih sokongan warga Felda kepada mereka.

Kononnya, apabila berkuasa nanti, mereka akan memulihkan Felda.

Yakinkah warga peneroka Pakatan Harapan akan berbuat demikian?

Tanah rancangan Felda kini dihuni oleh majoriti orang Melayu bagi menyara kehidupan keluarga.

Adakah Pakatan Harapan diketuai DAP akan terus membela nasib orang Melayu apabila mereka berkuasa?

Belum berkuasa, mereka boleh berjanji bulan dan bintang, tetapi apabila berkuasa nanti, nasib rakyat terutama orang Melayu di Felda belum diketahui.

Yang pastinya kepesatan Malaysia saban hari diikuti rapat oleh perkembangan kejayaan Felda itu sendiri.

Melalui pelbagai bentuk inisiatif transformasi yang disambung oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, maka tidak mustahil Felda bakal menjadi sebuah empayar terulung di mata dunia.

Walaupun para pemimpin dan rakyat bersilih ganti sejak negara kita merdeka, namun Felda masih tetap sama, dijaga dan tidak pernah diganti-ganti.

Ternyata Felda merupakan saksi utama buat negara dalam proses kemerdekaan, pemodenan dan transformasi sebuah negara bangsa yang lebih gemilang.

Oleh sebab itu, Pakatan Harapan yang kini dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melafazkan ikrar mahu memulihkan Felda.

Pastinya Mahathir sedar betapa kuatnya sokongan masyarakat Felda kepada kerajaan sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

Siapa yang menubuhkan Felda? Bukankah kerajaan yang ada sehingga kini?

Pastinya Felda dan tidak diabaikan dan akan terus dijaga demi masa depan warga peneroka dan generasinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here