Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku mengenali individu H yang didakwa cuba menawarkan RM5 juta kepada Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk meninggalkan parti dan menyambung pelajarannya ke luar negara.

Bagaimanapun kata Mahathir, beliau tidak mengenali rapat individu terbabit kerana insan yang mempunyai tingkah laku seperti itu tidak wujud dalam mana-mana jabatan semasa beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri.

“Ya saya memang kenal dengan dia (individu H). Tetapi semasa zaman saya, orang-orang begini tidak ada dalam Umno atau pun dalam jabatan semasa pementerintahan saya.

“Orang-orang begini wujud untuk menjadi orang suruhan kepada ketuanya,” katanya kepada Sinar Online.

Syed Saddiq pada semalam mendakwa Pejabat Perdana Menteri sengaja menafikan kewujudan individu yang dipercayai dalang rangkaian sistematik dedak.

Beliau berkata, pihak terbabit sememangnya mengetahui individu itu ada kaitan dengan jabatan berkenaan.

“Mereka penipu. Saya yakin mereka memang sengaja menggunakan cara teknikal untuk menafikan individu tersebut mempunyai kaitan dengan Pejabat Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Syed Saddiq dalam sidang medianya Isnin lalu mendakwa ditawarkan RM5 juta daripada ‘penasihat kanan perdana menteri’ untuk meninggalkan parti dan menyambung pelajarannya ke luar negara.

Menurutnya, umpan wang tunai ditawarkan oleh ‘rangkaian sistematik dedak’ yang dirancang penasihat kanan itu termasuk geran untuk mendirikan sekolah debat di seluruh negara.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here