APABILA Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersetuju dengan cadangan melantik bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas Putrajaya pasca pilihan raya umum (PRU) kelak, maka ianya pada masa yang sama membangkitkan beberapa persoalan yang perlu difikirkan dan direnung oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Cadangan seumpama itu sememangnya ganjil. Kita bukan bercakap mengenai pelantikan sementara seorang ketua negeri dan bukan pula seorang menteri penuh. Itu pun sudah cukup aneh. Tetapi kita bercakap mengenai jawatan dan kerusi ketua kepimpinan negara, perdana menteri. Bak kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, pelantikan seorang perdana menteri sementara adalah satu amalan yang tidak sihat dan tidak pula bersemangat perlembagaan.

PH Ketandusan Calon Pemimpin

Keputusan PKR yang bersetuju menamakan Mahathir sebagai bakal perdana menteri sementara sebelum Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan setidak-tidaknya memberitahu kita satu perkara; PH sememangnya ketandusan calon berwibawa untuk diangkat menjadi perdana menteri. Mengharapkan Mahathir untuk terus mengemudi bahtera kerajaan tatkala usianya telah pun sangat lanjut nyata membuktikan pakatan itu hanya mengharapkan sentuhan orang lama yang aura dan bisanya sudah tidak sekuat dulu. Dalam konteks ini juga, PH dilihat seolah-olah tidak serius memperjuangkan aspirasi kebanyakan penyokong mereka yang mahu melihat kepimpinan negara diterajui muka-muka baharu.

20160905_Tun_Dr-M-Anwar_ibrahim

Mahathir Gila Kuasa?

Menamakan Mahathir sebagai ketua negara dan kesediaan bekas perdana menteri itu sendiri untuk kembali aktif dalam politik juga menghantar satu lagi mesej kepada rakyat bahawa beliau masih tidak puas dengan apa yang telah dikecapinya sepanjang 22 tahun pemerintahan beliau sebagai seorang perdana menteri sebelum ini. Dalam erti kata lain, sebahagian rakyat akan melihat dan menilai bahawa Mahathir adalah seorang yang kemaruk dan gila kuasa. Maka ‘peluang’ yang diberikan oleh PH kepada beliau ini, walaupun sementara, wajarlah digunakan sebaik mungkin untuk mengangkat kembali legasinya yang semakin terhakis di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Najib Razak.

Apatah lagi pengaruh keluarga dan anak-beranaknya juga semakin hilang. Peluang yang terhidang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk terus memastikan survival politik anaknya Datuk Seri Mukhriz. Persoalannya, sejauh mana Mahathir betul-betul boleh berpegang dengan komitmen untuk menjadi perdana menteri ‘sementara’? Adakah di sana benar-benar ada jaminan bahawa beliau akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar sebaik sahaja bekas timbalan perdana menteri itu dibebaskan? Mahathir menyertai PH hanya kerana satu tujuan; menjatuhkan Najib. Sukar untuk membayangkan bagaimana Mahathir mahu ‘mengorbankan’ kerusi nombor satu negara itu apabila matlamatnya sudah tercapai pasca PRU kelak.

tunmadey

Pengkhianatan Kepada Perjuangan Reformasi

PKR juga pada masa yang sama perlu berfikir dua kali sebelum betul-betul bersetuju mengenai perkara ini. Kemasukan Mahathir dan pengaruh beliau dalam kepimpinan PH bukan disenangi oleh kesemua penyokong pembangkang, khususnya ahli dan penyokong lama PKR itu sendiri. Sewaktu para pendokong reformasi ini bermati-matian mempertahankan Anwar dalam isu pemecatan beliau pada 1998 dahulu, Mahathir adalah orangnya yang mengarahkan penangkapan dan pembantaian mereka yang turun ke jalanan bagi mempertahankan Anwar.

Mereka berdepan dengan pelbagai bentuk layanan keras oleh pentadbiran Mahathir. Semburan gas pemedih mata sudah menjadi sesuatu yang biasa mereka terima pada waktu itu. Sesetengah daripada mereka pula menjalani episod penahanan sehingga ada yang terpaksa berdepan pula dengan ancaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkan sebagai akta paling kejam yang ada pada ketika itu. Akhirnya pentadbiran Najib jugalah yang menghapuskan akta drakonian ini walaupun berdepan penentangan daripada beberapa segmen dalam masyarakat.

Menyingkapi sejarah Mahathir dan ‘layanannya’ terhadap Anwar dan para penyokongnya satu ketika dahulu, menamakan beliau sebagai calon perdana menteri sementara sewajarnya dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap perjuangan para pendokong reformasi yang pernah terkesan secara langsung dengan bentuk kekerasan pentadbiran Mahathir. Mengangkat Mahathir bermakna mengiktiraf dan melupakan terus sejarah ‘kekejamannya’. Mahathir juga secara peribadi tidak pun pernah membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap rakyat yang pernah dianiaya beliau dahulu. Justeru, bagaimana PKR boleh bersetuju untuk mengangkat Mahathir sebagai calon perdana menteri sedangkan sentimen berbeza para pendokong reformasi dahulu tidak diharmonikan dengan baik?

Ego Dan Matlamat Lain Mahathir

Apa pun, seperti yang telah disebutkan, mengangkat Mahathir sebagai perdana menteri sementara hanya memperlihatkan satu bentuk ketandusan PH dalam mengetengahkan calon-calon pemimpin yang berwibawa dalam kalangan mereka. Tekad PKR untuk membebaskan Anwar dalam tempoh setahun pentadbiran PH sekiranya berjaya merampas Putrajaya kelak juga mencerminkan sikap mereka yang tidak menghormati perundangan negara. Jika bekas timbalan perdana menteri itu hendak dibebaskan sekalipun, biarlah ianya dilakukan dalam ruang lingkup yang dibenarkan dan diperakui undang-undang.

Di pihak Mahathir pula, sejauh mana beliau akan menghormati keputusan untuk menjadikannya sebagai perdana menteri sementara wajar diragui. Menjadi perdana menteri bermakna matlamatnya untuk menjatuhkan Najib sudah pun tercapai. Maka matlamat lain untuk mengangkat anaknya mukhriz ke persada politik tanahair perlu juga disempurnakan. Tambahan pula, Mahathir tentunya tidak mahu dilihat hanya menjadi seorang perdana menteri boneka kepada PKR dan PH yang hanya menunggu masa untuk ‘mengarahkan’ beliau meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu sebaik pembebasan Anwar direalisasikan. Keadaan sebegitu samalah seperti satu bentuk penghinaan kepada beliau. Ego beliau yang pernah memerintah negara selama 22 tahun tentu tidak mahu sama sekali tunduk kepada ‘penghinaan’ seperti itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here