Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keterangan bekas menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang Bank Negara Malaysia (BNM) mengalami kerugian RM5.7 bilion dalam urus niaga mata wang asing berdasarkan laporan kewangan tahunan bank pusat itu yang diaudit Jabatan Audit Negara.

Anwar yang merupakan saksi ke-21, ketika memberi keterangan kepada RCI petang ini berkata, laporan itu dimuktamadkan selepas perbincangan antara BNM dan Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Ishak Tadin.

“Dia (Anwar) tekankan kenyataan yang disampaikan kepada Kabinet bahawa kerugian wang sebanyak RM5.7 bilion, yang lain tak termasuk dalam laporan BNM yang telah diaudit.

“Jadi dia beritahu apa yang (terkandung) dalam laporan, takkan dia nak soal sangkaan ada orang curi duit?

“Dia buat kenyataan mengikut apa yang disahkan oleh (Jabatan) Audit (Negara). Itu sahaja,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri sesi ke-6 prosiding RCI mengenai kerugian urus niaga forex BNM pada awal 1990-an di Istana Kehakiman, hari ini.

Kerugian forex yang dialami BNM itu berlaku sekitar 1990-an di bawah pentadbiran Dr Mahathir, sementara Anwar merupakan menteri kewangan ketika itu.

RCI akan kembali bersidang pada 18 hingga 20 September ini dan Anwar mungkin dipanggil semula, selain Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin selaku menteri kewangan dari 1984 hingga 1991.-FAIZ ZAINUDDIN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here