Tun Razak

MENYINGKAP sejarah politik Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri itu mula menyer­tai UMNO pada 1946.

Namun, Mahathir dipecat daripada UMNO pada 26 September 1969 oleh Presiden UMNO ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kenapa Mahathir dipecat?

Mahathir dipecat kerana mendakwa Tunku Abdul Rahman, selaku pemimpin tertinggi negara gagal membela kepentingan kaum Melayu dan dengan itu mendesak Tunku untuk meletak jawatan.

Siapa sebenarnya yang membawa masuk Mahathir kembali ke dalam UMNO?

Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan daripada Tunku Abdul Rahman, sekali gus membawa masuk semula Mahathir ke pangkuan UMNO pada 7 Mac 1972.

Selepas itu, bapa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Mahathir sebagai senator pada tahun 1973.

Selepas itu, Mahathir diberi peluang bertanding mewaki­li Barisan Nasional (BN), bagi kerusi Parlimen Kubang Pasu pada 1974 sebelum dilantik sebagai Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak.

Sejak itu, kerjaya politik Mahathir terus menyinar dan beliau melangkah ke hadapan dalam politik UMNO.

Menyusuri perjalanan politik Mahathir, selepas itu beliau dilantik sebagai Presiden UMNO dan sekali gus menjadi Perdana Menteri keempat sehinggalah dicabar oleh Naib Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987.

Pada waktu itu, pelbagai pihak meramalkan Tengku Razaleigh akan menang dalam pemilihan tersebut.

Namun, Mahathir dipilih semula sebagai Presiden UMNO dengan margin yang kecil iaitu kelebihan hanya 43 undi.

Mahathir memperoleh 761 undi, manakala Tengku Razaleigh 718 undi.

Dilaporkan, faktor yang menyebabkan Mahathir mengalahkan Tengku Razaleigh adalah faktor sokongan Najib yang beralih kepada Perdana Menteri keempat itu pada saat-saat akhir.

Peristiwa Najib, selaku Pe­mang­ku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan pada ketika itu telah menjadi bahan perbualan dalam kalang­an rakyat malah media arus perdana.

Sokongan Najib telah membantu menyelamatkan Mahathir daripada ditumbangkan dalam pemilihan sengit jawatan Presiden UMNO dan terus dapat mengekalkan kerusi Perdana Menteri.

Najib dilaporkan banyak membantu dan menyokong proses penubuhan UMNO baharu yang ditubuhkan selepas pendaftaran UMNO dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi atas beberapa sebab termasuk tidak menepati peraturan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Najib juga dilaporkan akur dan banyak membantu di saat-saat kritikal dalam kerjaya politik Mahathir.

Adakah Mahathir lupa jasa dan pengorbanan Najib terhadapnya?

Nampak gayanya memang negarawan berusia lebih 90 tahun itu sudah lupa sama sekali.

Malah kini Mahathir meninggalkan UMNO dan bersekongkol pula dengan DAP.

Apa yang dilakukan Mahathir hari ini hanya untuk menjatuhkan Najib, individu yang suatu ketika dahulu banyak membantunya.

Siapa yang tidak mengenali DAP?

DAP ialah sebuah parti politik yang dari dulu lagi berniat untuk menjatuhkan UMNO dan dengan lantang menafikan hak istimewa kaum Melayu terma­suk bumiputera seperti yang terkandung dalam Perkara 153, Perlembagaan Malaysia.

Sesungguhnya rakyat terkejut apabila Mahathir berpakat dengan DAP.

Ini kerana bekas Perdana Menteri itu pernah me­labelkan DAP sebagai parti perkauman dan anti Islam.

Pada 25 Julai 2017, majoriti peserta yang hadir dalam Forum ‘Mahathir Ejen Perubahan atau Ejen Pemusnah’ anjuran Kelab Bangsar Utama (KBU) melahirkan kekecewaan dan tidak bersetuju de­ngan tindakan Pakatan Harapan yang diketuai DAP melantik Mahathir sebagai pengerusi pakatan tersebut.

Empat panel jemputan iaitu aktivis pembangkang, Hishamudin Md. Rais; Presiden PAN, Moha­mad Sabu; Dr. Michael Jayakumar Devaraj daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Haris Ibrahim daripada Asal Bukan UMNO (ABU) dilihat gagal menjawab soalan mengapa pembangkang perlu bergantung pada Mahathir untuk melakukan revolusi dan perubahan.

Sebahagian besar peserta dalam forum itu terutama golo­ngan muda melahirkan kekecewaan terhadap Mahathir yang kini mengetuai Pakatan Harapan.

Rata-rata berpendapat Mahathir tidak patut kembali aktif dalam politik negara.

Otai Reformis 1998 juga secara konsensus menolak keha­diran Mahathir dalam Pakatan Harapan dan berhasrat memboikot kempen parti yang disertai oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Penolakan itu dibuat kerana merasakan bekas Perdana Menteri itu bukan calon yang layak untuk dijadikan sebagai pemimpin contoh kepada pakatan itu.

Itu semua langsung tidak dipedulikan oleh Mahathir kerana beliau mempunyai matlamat apabila bekerjasama dengan DAP.

Matlamatnya hanya satu iaitu untuk menjatuhkan Najib demi kepentingan politik peribadinya yang belum tercapai.

Selagi cita-cita politiknya tidak tercapai, Mahathir akan melakukan apa sahaja bagi menjatuhkan Najib.

Soalnya, adakah Mahathir sudah lupa sumbangan Tun Razak dan anakandanya Najib kepada kerjaya politiknya sendiri?

Bukankah pepatah ada mengatakan hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati menjadi amalan hidup rakyat Malaysia ter­utamanya kaum Melayu secara turun-temurun?

Realitinya Mahathir kini sudah menjadi seorang yang tidak mengingat jasa selain negarawan yang sangat pelupa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here