kwsp

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan agar melihat semula kenyataannya yang dibuat 12 tahun lalu yang menyatakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu melabur  lebih banyak di seberang laut agar pencarum dapat menerima dividen yang lebih baik.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan itu pada 26 April 2005, justeru amat mengejutkan apabila beliau mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan mengkritik pelaburan Khazanah serta KWSP di Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Berita untuk mengingatkan beliau (Dr Mahathir) boleh dibaca di http://tinyurl.com/epf-DrM2. Pada masa itu beliau (Dr Mahathir) berkata KWSP mempunyai dana yang besar berjumlah RM240 bilion dan pelaburan domestik bermakna pulangan yang rendah. Beliau berkata KWSP mesti melabur di luar negara bagi meningkatkan pendapatannya.

“Hari ini, setakat akhir Jun 2017, dana KWSP mencecah RM759.78 bilion – lebih tiga kali ganda berbanding  ketika Dr Mahathir membuat kenyataan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, KWSP sudah menjelaskan bahawa pelaburan luar negara mereka, atau 29 peratus daripada aset pelaburan keseluruhan, menyumbang  32.5 peratus kepada pendapatan pelaburan keseluruhan bagi suku kedua 2017.

Ahmad Shabery berkata, pelaburan seberang laut juga memberi pulangan atas pelaburan tahunan 11.10 peratus setakat Jun 2017 – jauh mengatasi prestasi pelaburan tempatan KWSP.

“Saya terkejut bila tahu Tun (Dr Mahathir) sekarang sudah menukar fikiran dan pandangan  dengan mengkritik pelaburan Khazanah dan KWSP di AS. Ini menunjukkan beliau bermain politik kebencian sambil mengetepikan kebajikan serta kepentingan rakyat,” katanya.

Menurut Ahmad Shabery, melabur di luar negara bukan perkara baharu bagi Khazanah dan KWSP.

Khazanah telah membuka pejabat di Lembah Silikon, AS pada 2013 dan pada 2014, Khazanah memperoleh lebih US$1 bilion menerusi penyenaraian Alibaba di AS – pulangan lima kali ganda pelaburan mereka, katanya.

Menurut beliau sebahagian besar dana untuk pelaburan semasa berjumlah US$400 juta dalam firma teknologi di AS datang daripada keuntungan Alibaba.

“KWSP juga merekodkan kejayaan besar menerusi pelaburan dalam projek infrastruktur di seberang laut. Pada 2013, KWSP bersama-sama syarikat berkaitan kerajaan Sime Darby dan SPT Setia yang pemegang saham utamanya ialah PNB (Permodalan Nasional Berhad), dianugerahi projek bernilai berbilion pound untuk membangunkan Battersea di London,” katanya.

Menurutnya projek Battersea merupakan projek berpotensi besar  yang bermakna lebih banyak keuntungan akan diperoleh syarikat-syarikat terbabit.

“Saya harap  Tun dan (pakatan pembangkangnya) Pakatan tidak mencetuskan keraguan terhadap keputusan pelaburan yang dibuat pengurus dana profesional terbabit memandangkan mereka mempunyai rekod yang cemerlang dalam pelaburan di luar negara.

“Kejayaan mereka bermakna rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada keputusan mereka melabur di luar negara. Adakah salah untuk pemegang dana ini mencari pelaburan terbaik – sama ada di dalam mahupun di luar negara – yang akan memaksimum pulangan simpanan rakyat biasa?” soalnya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here