Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa boleh menyelesaikan masalah ditimbulkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh dua tahun.

Calon perdana menteri Harapan itu berkata, pengalamannya selama 22 tahun sebagai perdana menteri akan memberi kelebihan kepada beliau.

“Ada yang ingin tahu sama ada dua tahun mencukupi untuk jadi perdana menteri jika Harapan menang. Dua tahun cukup untuk kita selesaikan begitu banyak masalah yang akan ditinggalkan Najib.

“Bagi yang pertama kali jadi perdana menteri memanglah tidak mencukupi tetapi saya ada pengalaman 22 tahun dan tak perlu belajar jadi perdana menteri. Sebab itu dalam dua tahun mungkin boleh selesai sebahagian masalah dan buat garis panduan berkenaan penyelesaian masalah yang ambil masa lebih panjang,” katanya dalam sesi siaran langsung di Facebooknya, hari ini.

Sebelum ini, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azlan Man dilaporkan berkata, hasrat Mahathir menjadi perdana menteri selama dua tahun sekiranya pembangkang diberi mandat memerintah adalah tidak praktikal dan sekadar gimik politik.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, beliau juga sudah mempunyai idea untuk dilaksanakan sebagai perdana menteri sekiranya Harapan menang dalam PRU14.

“Peninggalan Najib ini amat berat untuk diselesaikan tapi kita mempunyai beberapa idea. Sebelum saya jadi perdana menteri pun saya dah kaji masalah ini dan dapat idea cara-cara selesaikannya.

“Insya-ALLAH jika saya jadi perdana menteri saya akan laksanakan idea yang saya cipta untuk selesaikan masalah,” katanya.-SN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here