Mahathir

JIKA melihat kepada struktur kepimpinan baharu Pakatan Harapan (PH), gabungan itu diketuai Ketua Umum yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik ke jawatan tersebut.

Selepas itu, jawatan Pengerusi yang menyaksikan pula Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dipilih sebagai Pengerusi gabungan Pakatan Harapan.

Persoalan besar di sini, bolehkah Mahathir duduk di bawah Anwar?

Umum mengetahui, Anwar kini sedang dipenjarakan tetapi Pakatan Harapan tetap memilihnya sebagai Ketua Umum gabungan itu.

Adakah Pakatan Harapan tidak mempercayai Mahathir untuk bekas Perdana Menteri itu mengetahui Pakatan Harapan?

Juga tidak dinyatakan apa peranan sebenar Ketua Umum, Pengerusi dan Presiden?

Siapa pula sebenarnya yang mempunyai kuasa tertinggi dalam Pakatan Harapan?

Adakah Mahathir, Anwar atau Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dipilih sebagai Presiden gabungan berkenaan?

Biarpun semua itu tidak dinyatakan, namun persoalan utama di sini adalah bolehkah ketiga-tiga ketua berkenaan bekerjasama?

Umum pastinya mengetahui permusuhan lama di antara Mahathir dan Anwar.

Sepanjang 22 tahun Mahathir memerintah, rakyat disajikan dengan babak kejam Mahathir terhadap Anwar yang merupakan bekas timbalannya.

Anwar bukan sahaja dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO malah turut dihumban ke penjara.

Bolehkah Anwar melupakan semua itu?

Bolehkah juga Wan Azizah melupakan apa yang telah dilakukan oleh Mahathir terhadap suaminya?

Sekian lama perkara itu berlalu, Mahathir dilaporkan tidak lagi menganggap bekas Ketua Pembangkang itu sebagai musuhnya.

Ternyata Mahathir kini terpaksa berbaik dengan Anwar dan Pakatan Harapan demi kepentingan peribadi dan agenda politiknya yang masih belum kesampaian.

Struktur baharu itu dilihat menggembalikan nostalgia gandingan bekas Perdana Menteri itu dan Anwar semasa mereka berada dalam kerajaan hampir 20 tahun dahulu.

Tetapi pada waktu itu Mahathir adalah ‘bos’ besar.

Mahathir mungkin perlu menerima keputusan Pakatan Harapan itu, namun bolehkah Mahathir pada dasarnya bekerja di bawah Anwar?

Mahathir kini bukan lagi bos besar, tetapi perlu bekerja bersama dua lagi ketua dalam Pakatan Harapan, Anwar dan Wan Azizah sendiri.

Ternyata Mahathir kini sanggup melakukan apa sahaja demi merealisasikan agenda politiknya termasuk mungkin berpura-pura berada di bawah telunjuk Anwar.

Ini termasuk apabila Mahathir terus membuat pusingan U dengan menerima jika Anwar dipilih sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan datang.

Selain tiga jawatan tinggi itu, Pakatan itu turut menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) sebagai timbalan presiden.

Jawatan naib presiden disandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chien Jen dan Salahuddin Ayub.

Persoalannya, mengapa DAP tidak memegang salah satu jawatan tertinggi dalam struktur kepimpinan baharu pakatan itu?

Ini kerana, DAP mempunyai bilangan anggota Parlimen terbanyak dalam pakatan berkenaan.

Apakah DAP dipinggirkan atau ini disengajakan supaya pakatan ini dilihat sebagai di dominasi oleh orang Melayu?

Sebaik sahaja mengumumkan barisan baharu kepimpinannya, Pakatan Harapan telah pun memberikan janji politik yang hendak dilakukan dalam tempoh 100 hari setelah berkuasa.

Tetapi, nama Perdana Menteri tetap tidak diumumkan.

Siapa calon Perdana Menteri yang menjadi pilihan Pakatan Harapan?

Adakah mereka masih belum mencapai kata sepakat sehingga kini?

Dengan barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang sebegini, bolehkah kita memberi kepercayaan kepada mereka untuk menerajui negara?

Sanggupkah kita mempertaruhkan undi kepada janji-janji yang belum pasti?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here