PADA 22 Disember 2017 berlangsungnya satu perhimpunan bertujuan menzahirkan solidariti terhadap Palestin.

Ianya berikutan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytihar Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel yang akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya.

Himpunan itu adalah satu daripada kesinambungan gerakan dibuat kerajaan dalam konteks membantu memperjuangkan isu-isu kemanusiaan dan yang melibatkan soal ketidaksamarataan serta ketidakpuasan hati rakyat.

Meskipun Malaysia sebuah negara kecil, namun suara kita amat didengari dan disukai kebanyakan negara di dunia memandangkan kita tidak bersifat emosi apabila berhadapan dengan sesuatu isu, sebaliknya memilih pendekatan konstruktif.

Siapa yang terlibat di dalam himpunan itu?

Himpunan pada Jumaat itu melibatkan bukan hanya orang Islam, tetapi merentasi sempadan kaum, agama dan pendirian politik.

Semua bersama-sama berhimpun di Masjid Putra sebagai mani­festasi rasa tidak puas hati terhadap keputusan AS mengisytihar Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Apakah yang dimaksudkan himpunan ini merentasi sempadan politik negara?

Di dalam masjid akan diadakan forum khas solidariti selamatkan Baitulmuqaddis yang menampilkan enam panel daripada pelbagai latar belakang politik malah pertubuhan bukan kerajaan meliputi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Ini memberikan satu warna baharu kepada negara bahawa fahaman politik kita tolak ke tepi apabila menyentuh isu kesucian atau tempat suci orang Islam.

Jika dilihat, Himpunan Solidariti Untuk Rohingya yang diadakan tahun lalu memberi impak yang besar sehingga ke peringkat antarabangsa.

Adakah himpunan kali ini bakal memberi kesan serupa?

Tekanan kepada pihak AS dan Israel harus dibuat secara konsisten.

Ini langkah konstruktif kerajaan iaitu berjuang bukan menggunakan mata pedang atau kaedah-kaedah ketenteraan, tetapi lebih kepada pendekatan bersifat intelektual dan keilmuan bagi memastikan agenda membela rakyat Palestin dapat dijayakan.

Berapa sasaran kehadiran Himpunan Putih berkenaan?

Disasarkan 10,000 orang atau lebih akan hadir pada himpunan itu.

Himpunan ini tidak dianjurkan di depan Kedutaan AS, tidak juga berhimpun di kawasan premis ke­rajaan AS atau sebagainya tetapi memilih lokasi yang suci dan bersih iaitu masjid. Sebab itu dipanggil Himpunan Putih.

Selain ucapan Presiden PAS dan Perdana Menteri, apakah acara kemuncak himpunan ini?

solidaritiselamatkanbaitulmaqdis22disember2017

Kemuncaknya ialah kedua-dua Perdana Menteri dan Presiden PAS yang juga Naib Ketua Ke­satuan Ulama Islam Sedunia akan menurunkan tandatangan di atas kain rentang putih sebagai tanda protes terhadap keputusan AS.

Bagaimanapun, itu bukanlah penamat, sebaliknya permulaan kepada protes terhadap kerajaan AS dan Israel dengan lebih banyak tandatangan akan dikumpulkan daripada orang ramai di atas kain rentang putih itu sebagai manifestasi menzahirkan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia.

Jadi apa tanggungjawab kita sebagai rakyat negara ini?

Kerajaan telah pun menggerakkan usaha ke arah menunjukkan solidariti terhadap Palestin.

Adakah wajar usaha kerajaan ini dijadikan isu politik?

Sudah tentu tidak wajar, ini kerana isu membabitkan solidariti terhadap Palestin dan Baitulmuqaddis seharusnya merentasi politik dan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Tetapi agak menyedihkan apabila Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub memaklumkan parti itu tidak akan menghantar wakil pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis berkenaan.

Salahuddin memberitahu, barisan kepemimpinan PAN membuat keputusan tersebut selepas melihat cara perhimpunan itu dipromosikan yang mengetengahkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Keengganan PAN untuk menyertai Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis itu menimbulkan persoalan kerana program tersebut bagi memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang merentasi sempadan politik dan ideologi.

Tidak ada sebab penganjuran perhimpunan tersebut tidak mendapat sokongan seluruh rakyat negara ini melainkan mereka yang menolak menyertainya harus bersedia untuk dipersoalkan rakyat.

Ini memandangkan soal Palestin cukup dekat di hati rakyat negara ini.

Jadi, apa sebenar pendirian PAN berhubung isu Palestin?

Sebagai rakyat Malaysia, lupakanlah soal politik seketika kerana usaha kerajaan itu adalah demi memperlihatkan solidariti terhadap Palestin dan menentang keputusan AS mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Isunya adalah merentasi sempadan politik dan kaum, tunjukkan solidariti kita sebagai rakyat Malaysia bukan menentang dan mempolitikkan himpunan yang diadakan.

Bersama-samalah kita mempertahankan Baitulmuqaddis sebagai tempat suci orang Islam.

Allahuakbar!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here