BAHANG pilihan raya umum (PRU) ke-14 memang sudah semakin terasa. Apa tidaknya, sejak akhir-akhir ini rakyat dipertontonkan dengan pelbagai sketsa politik yang membayangkan persaingan antara kem kerajaan dan kem pembangkang untuk mencipta “feel good factor” dalam masa yang berbaki tidak sampai setahun pun lagi.

Bermula dengan kembalinya bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke pangkuan UMNO serta masuknya ADUN PAS dan bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Dato’ IR. Amiruddin Hamzah ke dalam PPBM, minggu ini arena politik tanahair menyaksikan pula bagaimana bekas menteri besar Selangor (PKR) sebelum ini, Tan Sri khalid Ibrahim hadir memberi sokongan dalam konvensyen UMNO Selangor yang diadakan di PWTC hujung minggu lalu. Dalam perkembangan terbaru, kejutan turut berlaku di Kedah semalam apabila lima orang pemimpin Srikandi PPBM negeri itu bertindak mengumumkan keluar parti berkuat-kuasa serta merta.

Dinamik Dalam Kesetiaan Kepada Parti

Acara ‘lompat-melompat’ dan keluar parti ini sebenarnya sudah menjadi satu perkara yang biasa di Malaysia. Kalau dahulu, sebelum berlakunya ‘tsunami politik’ pada 2008, situasi seumpama ini mungkin jarang-jarang sekali berlaku dan parti-parti politik sendiri tidak begitu memberikan perhatian serius kepada kemungkinan tersebut. Pada mereka, wakil rakyat yang bertanding atas tiket parti-parti tertentu tidak mungkin berpaling tadah, apatah lagi setelah berjaya memenangi kerusi yang ditandingi baik di peringkat parlimen mahupun di peringkat DUN.

Namun pada hari ini, situasi itu tampak berubah dengan begitu cepat. Seiring dengan sentimen pengundi yang tidak lagi terikat dengan ‘kesetiaan’ kepada satu-satu parti walau apa pun yang terjadi, maka begitulah juga dinamik politik yang dilihat berlaku dalam kalangan sesetengah ahli politik dan wakil rakyat. Walaupun di sana masih terdapat ramai ahli politik yang memegang prinsip ‘setia hingga hujung nyawa’ terhadap parti-parti yang menaungi mereka, masa akan menentukan bahawa kefahaman-kefahaman politik sebegini akhirnya akan ditelan angin perubahan yang digerakkan pengundi.

Liputan mengenai aktiviti lompat dan keluar parti yang dilihat semakin kerap berlaku kini membuktikan bahawa kem kerajaan dan pembangkang nampaknya sudah berlumba-lumba menepis pengaruh politik lawan masing-masing. Dengan isyarat ‘mesra’ yang ditunjukkan Khalid pada konvensyen UMNO Selangor dan keluarnya lima pemimpin Srikandi PPBM di Kedah, angin perubahan politik minggu ini nampaknya memihak kepada BN. Ia memberikan satu lagi calaran kepada imej Pakatan Harapan (PH) yang pada minggu lalu terpaksa berdepan dengan perspektif yang negatif lantaran terpalitnya dua pemimpin mereka iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai urus niaga mata wang asing ataupun forex.

Pengaruh Dan Kesan Yang Diragui

Bercakap mengenai kehadiran Khalid pada konvensyen UMNO Selangor, mungkin ramai yang menjangkakan ianya adalah satu petanda yang sangat positif buat UMNO yang kini bertungkus-lumus untuk merampas kembali negeri itu daripada PKR. Tetapi sejauh mana jangkaan itu benar dan diyakini mampu mempengaruhi sokongan terhadap UMNO? Walaupun UMNO nampaknya ‘berjaya’ memikat Khalid untuk hadir pada konvensyen tersebut, namun pengaruh bekas menteri besar itu untuk mengalihkan kembali sokongan rakyat tampak masih belum dapat dipastikan.

Khalid mungkin sudah berjanji untuk membantu BN mahupun PAS menjelang PRU yang akan datang, namun hakikatnya pengaruh publisiti mengenai kehadiran beliau pada konvensyen UMNO hujung minggu lalu tidak pun lebih daripada impak yang dihadirkan Muhammad sewaktu mengumumkan kembalinya beliau kepada UMNO pada September yang lalu. Impaknya biasa-biasa sahaja kerana legasinya sudah tidak ‘lekat’ di hati pengundi-pengundi muda. Khalid pula kini adalah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan ADUN Pelabuhan Klang atas tiket Bebas. Tekad beliau untuk tidak lagi bertanding pada PRU kelak mahupun menyertai BN hanya membuatkan impak dan pengaruh beliau dalam mendapatkan sokongan terhadap UMNO begitu minima. Tambahan pula, jika dahulu ramai pemerhati melihat Langkah Kajang sebagai membuang masa dan tidak adil untuk Khalid selaku menteri besar ketika itu, hari ini sudah ramai yang bercakap-cakap bahawa Langkah tersebut nyata berasas setelah melihat kemesraan Khalid bersama UMNO.

Seperti mana kemasukan Amiruddin dari PAS ke dalam PPBM, keputusan keluar parti lima Srikandi PPBM di Kedah semalam juga tidaklah wajar dilihat sebagai satu kejayaan besar untuk BN dan UMNO sendiri. Yang keluar itu bukanlah tokoh dan personaliti yang besar, tetapi tidak dinafikan ia sedikit sebanyak membantu BN secara tidak langsung. PPBM yang sedia bermasalah, dilihat semakin bermasalah dan tidak stabil. Kepimpinannya baik di peringkat cawangan, negeri dan pusat tampak goyah dengan pelbagai isu yang berkait pengurusan dan kebebasan bersuara di peringkat akar umbi.

Komitmen ‘Mengikat’ Ahli Politik

Menjelang PRU yang bakal tiba tidak berapa lama lagi, peristiwa lompat dan keluar parti nampaknya akan terus mewarnai arena politik tanahair. Dalam banyak keadaan yang diperhatikan, situasi itu selalunya berlaku terhadap samada UMNO, PKR dan PPBM sendiri sebagai parti yang paling bermasalah. Atas kerisauan mengenai ‘budaya’ lompat dan keluar parti ini, kita melihat sudah ada bentuk perjanjian yang dibuat oleh gerakan politik untuk ‘mengikat’ calon-calon mereka. PAS umpamanya dikenali menerusi konsep bai’ah sehingga mengheret persoalan mengenai status perkahwinan dan perceraian dalam pembawaan politik mereka.

Di pihak PH, gerakan serupa juga sudah wujud. Institut kajian mengenai pilihan raya, Invoke Malaysia, umpamanya akan ‘mengikat’ calon-calon PH yang dibantu mereka. Denda sebanyak RM20 juta akan dikenakan sekiranya calon-calon tersebut mengkhianati parti dan PH sendiri yang boleh menyebabkan BN mengekalkan kuasa atau membuatkan PH kehilangan mana-mana negeri yang dikuasi mereka. Komitmen yang mengikat seperti ini nampaknya belum dilihat di pihak BN. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tanpa ‘penghijrahan’ mana-mana tokoh politik yang benar-benar berpengaruh, ianya dipercayai tidak akan memberikan sebarang kesan besar terhadap mana-mana parti yang bertanding walaupun ianya sudah tentu akan dijaja dan diwar-warkan sebagai satu langkah bagi mematikan atau merendahkan semangat lawan masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here