BERSATU

Politik Malaysia sememangnya unik dan sering muncul dengan isu-isu kontroversi yang ditimbulkan oleh ahli-ahlinya. Kadangkala rakyat hanya layak memerhati dan tidak dapat berbuat apa-apa melihatkan gelagat ahli-ahli politik ini bersengketa dan mengutamakan hal-hal kepartian berbanding isu sebenar untuk membantu rakyat.

Malah ada dalam kalangan parti-parti tertentu yang gemar menggunakan strategi mundur untuk mencapai kemenangan. Misalnya memancing ahli dari parti lawan untuk menyertai parti sendiri. Tujuannya jelas, misalnya untuk merampas sesebuah Kerajaan Negeri, mengurangkan kekuatan parti lawan dan melihatkan kelemahan dalam organisasi parti lawan. Namun begitu, sehingga kini masih kurang jelas sama ada tindakan menarik ahli parti lawan ini ada terkait dengan isu-isu seperti rasuah dan salah guna kuasa atau tidak.

Malah kita tidak pernah mendengar sebarang laporan kepada pihak berkuasa dibuat, tetapi hanya cakap-cakap kosong di pentas politik. Sebenarnya strategi menarik wakil rakyat dari parti lawan ini dimulakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembangkang mencatatkan pencapaian luar jangka ketika pilihan raya umum tahun 2008. Anwar pada saat itu telah menggerakkan kempen besar-besaran dengan mengumumkan terdapat Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) khasnya dari Sabah dan Sarawak akan melompat parti dan menyokong pakatan pembangkang untuk membentuk Kerajaan.

Anwar pada ketika itu, mengandaikan pakatan pembangkang akan dapat membentuk Kerajaan pada 16 September tahun berkenaan. Namun, selepas beberapa ketika projek berkenaan gagal dan apa yang dihasratkan Anwar itu tidak menjadi kenyataan. Jelas sekali strategi seperti ini bukan satu amalan sihat dalam politik, kerana secara tidak langsung situasi seperti ini telah merendah-rendahkan kuasa memilih yang ada pada rakyat.

Malah pada tahun 2009 berlaku krisis politik yang amat kontroversi di negeri Perak yang menyaksikan negeri yang dimenangi pakatan pembangkang itu telah jatuh semula ke tangan BN apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang melompat parti. Keadaan ini menyebabkan Kerajaan Negeri Perak pimpinan Datuk Seri Nizar Jamaluddin jatuh dan menyaksikan BN kembali berkuasa di negeri Perak. Ini juga sebenarnya boleh dilihat sebagai satu strategi politik yang membimbangkan kerana jelas kuasa rakyat itu telah ditolak ketepi demi percaturan kuasa parti politik.

Baru-baru ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah mengumumkan akan ada seorang ADUN BN dari negeri Johor yang akan menyertai parti berkenaan. Menurut kenyataan BERSATU, ADUN berkenaan tidak berpuas hati kerana dijangka tidak akan kembali menjadi calon pilihan BN untuk pilihan raya umum akan datang. Membawa masuk orang-orang kecewa bukanlah satu pilihan bijak yang dibuat oleh BERSATU kerana jelas parti berkenaan tidak memiliki struktur kepimpinan yang kukuh di negeri berkenaan sehingga terpaksa bergantung kepada orang-orang kecewa untuk membantu.

Namun yang lebih mengharukan apabila ADUN yang dimaksudkan menafikan akan menyertai BERSATU dan tidak mahu semangat serta sokongannya kepada UMNO dan BN dipertikaikan. Untuk itu, BERSATU sewajarnya menilai kembali kedudukannya di pentas politik negara. Sekiranya dakwaan lompat parti ini hanya propaganda BERSATU bagi memenangi hati rakyat ternyata ianya satu strategi yang terdesak dan cetek akal. Lompat parti kepada sesetengah pihak dianggap sebagai satu pencabulan hak asasi manusia tetapi pada masa yang sama wakil rakyat yang suka lompat parti tidak sepatutnya mengkhianati amanah pengundi yang telah memilih mereka. Mungkin undang-undang anti lompat parti sudah boleh dikuatkuasakan supaya demokrasi serta hak rakyat selaku pengundi di Malaysia terus dihormati.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here