DALAM kehangatan bahang pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang semakin terasa, nampaknya semakin banyak parti yang bakal bertanding mula memperkatakan tentang keperluan merangka satu mekanisme bagi mengekang tindakan lompat parti yang mungkin dilakukan oleh wakil rakyat mereka kelak.

Terbaharu, Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad tidak menolak sebarang kemungkinan untuk parti itu memperkenalkan kontrak ataupun perjanjian jaminan bagi menghalang mana-mana wakil rakyatnya “menyeberang” ke parti lain pasca PRU14 kelak. Dalam konteks ini, AMANAH melihat mereka mungkin mengambil jalan mengangkat sumpah bai’ah sepertimana yang telah dipopularkan PAS dalam konteks politik di Malaysia.

Bezanya, AMANAH tidak akan melibatkan pihak ketiga seperti yang dilakukan PAS dalam meletakkan perkahwinan ataupun isteri masing-masing sebagai “cagaran”. Bai’ah PAS sebelum ini pernah menjadi satu kontroversi besar dan mengundang kritikan yang bukan sedikit daripada pelbagai segmen masyarakat. Ketika itu ramai yang mempersoalkan kewajaran menghalang mana-mana ahli politik untuk melompat parti, tetapi hari ini langkah seumpama itu mula dilihat ada rasional dan relevannya.

Tindakan AMANAH dalam hal ini menyusuli pertimbangan awal yang telah dibuat PPBM sebelum ini apabila mereka mahu mengkaji cadangan untuk mengenakan penalti sebanyak RM20 juta kepada mana-mana wakil rakyat parti itu yang memilih untuk lompat parti setelah beroleh kemenangan pada PRU kelak. Ianya juga mengingatkan kita kembali kepada langkah serupa yang diambil sebuah badan analisa dan kajian politik pimpinan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, INVOKE hujung tahun lalu. Dalam langkah itu, mana-mana wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang ditaja badan itu perlu membayar sejumlah RM20 juta sekiranya mereka melompat parti pada bila-bila masa setelah PRU nanti.

Bagi pembangkang, kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya tindakan lompat parti oleh wakil rakyat mereka tidak boleh dipandang ringan. Beberapa insiden sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan betapa kebimbangan mereka mengenai perkara itu berasas. “Kehilangan” Perak kepada Barisan Nasional (BN) pasca PRU12 yang lalu nampaknya terus menghantui mereka apabila beberapa wakil rakyat mereka daripada PKR dan DAP mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan terhadap BN. Sebagai sebuah blok politik baharu pada ketika itu, kerapuhan gabungan itu telah memberikan satu pengajaran yang mahal buat mereka, dan situasi tersebut dimanfaatkan sebaiknya oleh BN bagi merampas kembali penguasaan politik di negeri tersebut.

Bagi BN pula, sebarang langkah untuk mengekang tindakan lompat parti oleh wakil rakyatnya mungkin tidak begitu mendesak seperti yang dialami oleh PH pada hari ini. Barangkali BN kini mempunyai kelebihan selaku gabungan politik yang memerintah di kebanyakan negeri dan di peringkat pusat. Justeru, sebarang tindakan lompat parti oleh wakil rakyatnya, sekiranya pun ada, dijangka tidak akan memberi kesan yang begitu signifikan terhadap penguasaan dan dominasi politik perikatan tersebut. Walau bagaimanapun, mengambil kira PRU14 yang disifatkan sebagai “ibu” segala PRU dan suasana pertarungan yang dijangka menjadi paling sengit dalam sejarah, adalah tidak mustahil buat BN untuk mempertimbangkan langkah serupa dalam hal ini.

Apa pun, apabila bercakap mengenai langkah yang diambil oleh PAS, AMANAH dan PPBM dalam hal ini, timbul juga persoalan mengenai sejauh mana tindakan seumpama ini dilihat demokratik? Tidakkah ia juga dilihat sebagai satu bentuk pencabulan terhadap hak berpolitik wakil-wakil rakyat terbabit? Daripada satu sisi yang lain, tindakan melompat parti oleh mana-mana wakil rakyat secara umumnya dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada parti dan penyokong mereka. Atas sebab itu, tindakan tersebut tidak dapat diterima oleh ramai pihak.

Namun, konotasi dan persepsi negatif terhadap tindakan melompat parti ini biasanya terhasil apabila tindakan tersebut berlaku setelah wakil rakyat tersebut “dibeli” dengan wang ringgit ataupun pelbagai ganjaran dan habuan lain yang telah dijanjikan. Hakikatnya, bukanlah semua wakil rakyat yang melompat parti itu termakan dan tewas dengan ganjaran seumpama itu. Dalam konteks politik tanahair, ada sebilangan wakil rakyat yang melompat parti kerana kecewa dengan perjuangan parti politik mereka yang dilihat tersasar. Ada pula yang sememangnya diketepikan dan disingkirkan secara perlahan-lahan, lalu membawa diri “menyeberang” ke kem yang bertentangan.

Secara perbandingan, kita melihat tindakan wakil rakyat melompat parti ini banyak berlaku dalam kem pembangkang. Situasi serupa agak jarang berlaku di kem BN kerana kebanyakan tokoh mereka yang melompat ke parti pembangkang hanyalah bekas wakil rakyat yang tidak lagi mempunyai kedudukan penting dalam kerajaan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat pusat. Justeru, rakyat boleh memahami mengapa pembangkang begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan langkah anti-lompat parti ini. Samada mereka sendiri tidak mempercayai calon parti mereka yang bertanding kelak, itu adalah persoalan yang wajar dijawab sendiri oleh mereka.

Apa pun, dengan perkembangan seumpama itu, ia jelas memperlihatkan kepada rakyat betapa politik Malaysia pada waktu ini begitu “fragile”, sekaligus membangkitkan persoalan mengenai sejauh mana para wakil rakyat benar-benar setia kepada parti yang diwakili mereka, dan seteguh mana pula integriti politik yang dimiliki mereka. Persoalan lain yang mungkin wujud adalah sejauh mana pula keberkesanan langkah pencegahan yang diambil kesemua parti-parti politik dalam mengekang aktiviti lompat parti dalam kalangan wakil rakyat mereka.

Jika mereka benar-benar mahu membanteras tindakan seumpama itu, satu penggubalan akta yang berkaitan mungkin boleh menjadi antara mekanisme terbaik ke arah pencapaian matlamat tersebut. Mengenakan penalti dalam bentuk bayaran tunai nampaknya tidak akan menyelesaikan masalah ini dalam masa panjang. Jika bai’ah PAS yang berbentuk “keagamaan” itu pun boleh dilanggar begitu sahaja, apatah lagi kontrak ataupun jaminan wang ringgit yang boleh “diberi” dan dicari pada bila-bila masa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here