Anthony Loke mentertawakan keyakinan MCA yang parti itu mampu memenangi kerusi Parlimen Seremban daripada DAP pada pilihan raya akan datang kerana pengundi Cina sangsi terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini selepas Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon berkata, partinya lebih berpeluang kali ini kerana pengundi di Seremban tidak menerima baik pembangkang yang dipimpin Dr Mahathir.

“Ya, Ah Chong berkata benar. Saya tidak berani berjalan di bandar Seremban dan takut untuk ke pasar Seremban,” tulis Loke dalam responnya di Facebook.

Chong juga berkata persaingan dalam Pakatan Harapan (PH) dan perubahan dalam sentimen pengundi akan meningkatkan peluangnya.

Beliau juga berkata pengundi Cina tidak setuju dengan kewujudan Dr Mahathir dalam pembangkang, dan DAP juga menghadapi kesukaran menjelaskan perkara ini kepada ahli mereka.

DAP pertama kali memenangi kerusi itu daripada MCA pada 2008 dengan 32,970 undian (3,948 majoriti). Pada 2013, Loke memperoleh peningkatan dalam majoriti iaitu sebanyak 12,553, meraih 45,628 undian.

Apabila dihubungi, Loke enggan memberi respons lanjut, sebaliknya hanya mengatakan, “Tiada komen.”

Di laman Facebook miliknya, bagaimanapun, beliau menulis: “Sangat takut untuk hadapi kempen pilihan raya kali ini. DAP bermasalah besar kerana Dr M.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here