Saat – saat indah bagi seorang selebriti mahupun individu normal yang sudah berumah tangga mestilah sangat indah apabila dikhabarkan dengan berita gembira iaitu untuk melalui pengalaman sebagai bakal ibu.

Tambahan lagi, apabila si kecil mula membesar di depan mata dengan sihat memberikan satu lagi perasaan kepada sesiapapun termasuk selebriti untuk melalui sekali lagi detik indah mengandung itu.

Bagi pelakon Liyana Jasmay, saat itulah yang dilaluinya sendiri apabila mengetahui dirinya sudah mengandung kali kedua.

Memasuki usia kandungan empat bulan kini, aktres yang juga penyanyi ini mengakui kandungan kali ini lebih baik daripada yang pertama.

“Mengandung kali ini ada kelainan kerana ia lebih baik, kerana walaupun masih di peringkat awal, saya boleh menghadiri pelbagai majlis.

“Jika sebelum ini iaitu kandungan yang pertama, saya sedikit terbatas untuk hadir beberapa majlis yang diadakan.

“Ia disebabkan, itu kali pertama saya mengandung dan belum biasa dengan perubahan itu,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis sidang media Festival Filem Malaysia (FFM) ke 27, kelmarin.

Ibu kepada seorang anak perempuan bernama Sofia Arissa ini juga memberitahu yang dirinya lebih yakin serta bersedia dengan kandungannya kali ini.

“Morning sicknes tu memang ada pada awal kandungan, tetapi tidak berapa teruk kerana saya sudah tahu untuk melaluinya.

“Suami juga tidak ada sebarang perubahan sepanjang saya mengandung ini. Semuanya macam biasa,” katanya yang masih belum membuat sebarang persediaan untuk menyambut cahaya mata kedua itu kerana masih terlalu awal.

Dari segi penjagaan kandungan dan kesihatan, Liyana berkata, dia mengamalkan pengambilan ubat yang disarankan doktor serta pengambilan makanan yang sihat.

“Saya mengambil makanan seimbang dan sihat serta banyak makan sayur.

“Selain itu, saya kurangkan makanan segera buat masa ini walaupun itu kesukaan saya” katanya.

Berkongsi pula mengenai si kecil yang bernama Sofia Arissa yang berusia 15 bulan kini, Liyana berkata, anaknya itu kini sudah pandai berjalan.

“Anak saya sudah berumur setahun tiga bulan. Dia dah pandai berjalan dan mula bertutur dalam bahasanya.

“Saya juga masih lagi menyusukannya kerana memikirkan dia masih kecil dan hanya untuk dia lena tidur”, katanya.

Mengulas pula sebarang perubahan pada anaknya semenjak dirinya mengandung kali kedua itu, katanya, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan lagi setakat ini.

“Dia mungkin tidak faham lagi. Dia masih baby untuk tahu saya mengandung. Dia hanya merengek seperti bayi normal yang lain,” katanya.

Sunting Filem Sendiri.

Berkongsi pula perkembangan kerjayanya dalam bidang lakonan, Liyana yang memiliki syarikat produksi sendiri iaitu Mermaid Studio memberitahu, yang kini dia baru selesai penggambaran untuk filem sulungnya, Bella & Jemmy.

“Saya dan pengarah, Fairul Nizam Ablah kini sedang menyiapkan proses suntingan filem tersebut.

“Untuk tawaran berlakon lain memang saya bercadang tidak mahu ambil buat masa ini kerana memang sepanjang mengandung saya akan berehat seketika,” katanya.

Anak bongsu kepada pasangan Datuk Jasmay dan Datin Hapsah ini juga berkata, sebolehnya dia mahu berlakon dan menghasilkan satu filem untuk satu tahun.

“Setahun saya nak buat satu filem sahaja, dan tahun depan selepas habis pantang, barulah saya akan mula aktif berlakon semula.

“Sebabnya ketika ini saya tidak ambil tawaran berlakon kerana mahu menjaga kondisi kandungan. Insya-ALLAH, pertengahan tahun depan saya akan kembali aktif,” katanya.

Liyana juga mengakui yang banyak lagi watak belum sempat dilakukannya dan apabila punyai syarikat sendiri, maka dirinya boleh melakonkan apa sahaja watak diinginkan.

“Daripada dulu saya memilih watak, tetapi kini, apa saya nak berlakon saya buat sendiri, pihak lain tidak boleh berikan saya watak yang saya mahukan. Jadi saya lebih suka buat watak sendiri dalam syarikat sendiri. watak yang memuaskan hati saya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here