Semalam YAB Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak selesai menyampaikan ucapan dasar beliau di Perhimpunan Agung UMNO ke-71 yang berlangsung di PWTC. Ucapan ini boleh disimpulkan sebagai ucapan terpenting yang pernah disampaikan pemimpin nombor satu negara ini. Satu rangkuman dan penjelasan penuh manfaat telah diberikan kepada seluruh negara. Malah cara penyampaian dan penyusunan isi ucapan juga amat menarik dan signifikan dalam penentuan kedudukan dan nasib perjuangan UMNO di masa hadapan.

Apa yang menarik Najib memulakan ucapan dengan memberikan satu senario bagaimana rupa Malaysia jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum akan datang. Ini bukanlah satu bentuk pemikiran negatif, namun ini merupakan satu usaha terbaik untuk menyuntik semangat dan keyakinan kepada ahli dan pemimpin UMNO secara menyeluruh. Dalam permulaan ucapan Najib telah mengingatkan UMNO dan BN wajib dipastikan terus memegang amanah rakyat.

Presiden UMNO itu mengingatkan bagaimana pelbagai institusi penting dalam negara termasuk institusi diraja, syarikat berkaitan Kerajaan seperti Felda dan Tabung Haji akan menerima kesan negatif melalui kekalahan UMNO. Kerana sehingga kini UMNO ialah satu-satunya parti yang mempertahankan semua institusi ini untuk terus menjalankan fungsi dengan baik. Malah Najib turut berpesan kehilangan kuasa UMNO dan BN mampu menyebabkan ramai penjawat awam kehilangan pekerjaan kesan daripada penguncupan saiz perkhidmatan awam yang sering dilaung-laungkan oleh pihak pembangkang.

Peringatan ini jelas satu peringatan yang sangat penting bagaimana kesan buruk akan berlaku kepada negara jika BN dan UMNO tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat. Justeru , kerja kuat harus dilakukan bagi memastikan Malaysia terus selamat dan sejahtera di bawah pentadbiran UMNO dan BN. Najib menganggap pilihan raya umum akan datang sebagai pilihan raya paling penting dalam sejarah. Untuk itu, UMNO tidak wajar berdiam diri dan berada pada status quo. Sekarang bukan masa untuk UMNO berasa selesa, sekarang masa untuk UMNO ‘berperang’ demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Untuk itu, seluruh ahli dan kepimpinan UMNO harus berpegang teguh kepada lima seruan penting yang dinyatakan Najib dalam ucapan dasarnya ini. Lima seruan ini nanti bakal menjadi tonggak dan penggerak yang memacu kejayaan lebih besar untuk UMNO dan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Seperti kata Najib setiap ahli UMNO perlu bergerak sebagai satu pasukan dan kedua perlu bergerak dengan penuh keyakinan dan sentiasa tahu bahawa landasan yang disediakan kini berada di kedudukan betul. UMNO dengan usia 71 tahun sudah melalui perkiraan matang dalam politik.

Ketiga, setiap permasalahan yang wujud perlu diselesaikan dengan pantas dan dilakukan dengan prinsip perpaduan melalui penerapan elemen kekeluargaan. UMNO bukanlah parti berkecamuk dan suka bergaduh seperti apa yang sedang berlaku dalam pembangkang. UMNO wajar menjadi contoh sebagai organisasi politik terbaik yang ada di negara ini. Keempat, Najib menekankan tentang kepentingan untuk UMNO menguasai ruang siber dan memenangi perang digital. UMNO tidak boleh leka melihat pihak pembangkang menguasai ruang ini.

Kemenangan di ruang siber akan memberikan keupayaan yang lebih signifikan kepada UMNO untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang. Akhir sekali, setiap ahli UMNO harus bertarung dengan semangat dan tekad yang tinggi. Tidak harus cepat menyerah kalah dan tidak pula menjadi pengkhianat kepada perjuangan parti. Setelah segala usaha dilakukan,setiap Ahli UMNO perlu mempunyai kepercayaan yang tinggi dan rasa tawakal terhadap Allah.

Lima seruan ini harus disematkan dalam dada setiap ahli UMNO dan wajar dijadikan asas perjuangan untuk pilihan raya umum akan datang. Ini amanat terpenting Najib setakat ini dan sudah tentu pesanan lebih berharga akan diberikan semasa ucapan penggulungan esok (Sabtu).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here