Filem Malaysia

Bulan Ogos merupakan bulan terpenting dalam kalendar kita sebagai rakyat Malaysia. Bulan ini ialah bulan kita mengenang sejarah kemerdekaan dan pembentukan negara yang kita cintai ini. Salah satu cara untuk menyemarakkan semangat kenegaraan ini ialah dengan menonton filem. Jadi hari ini Malaysian Access membantu anda memilih untuk menonton lima filem kenegaraan terbaik tempatan.

5. Embun (2002)

EmbunFilem arahan pengarah terkenal Erma Fatima ini mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Embun lakonan Umie Aida yang pengalami penyeksaan fizikal dan seksual oleh kekejaman tentera Jepun. Embun bangkit daripada pengalaman mengerikan itu untuk berjuang dan melawan tentera Matahari Terbit itu. Filem ini berlatar belakangkan Tanah Melayu ketika di bawah pemerintahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1940an. Filem ini memenangi beberapa anugerah di Festival Filem Malaysia termasuk Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

4. Leftenan Adnan (2000)

Leftenan AdnanSebuah lagi filem patriotik dengan aksi peperangan ketika zaman pemerintahan Jepun, tetapi kali ini diarahkan oleh Aziz M. Osman dan memaparkan adaptasi kisah benar pejuang negara bernama Leftenan Adnan Bin Saidi. Pelakon Hairie Othman telah diberikan peluang untuk memegang watak Leftenan Adnan dan beliau berjaya memberikan lakonan berkesan untuk watak berkenaan. Babak paling berkesan dalam filem ini sudah tentu pertempuran di Bukit Candu, Pasir Panjang di Singapura yang menyaksikan Leftenan Adnan gugur sebagai pejuang negara. Filem ini berjaya memenangi anugerah Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia di samping menerima pengiktirafan Anugerah Khas Juri di Festival Filem Asia Pasifik.

3. Darah Satria (1983)

DarahSatriaFilem ini jarang diperkatakan namun ia sebuah filem menarik dan dianggap sebagai antara pencetus kepada filem-filem perang dan patriotik di Malaysia. Filem ini mengisahkan tentang perjuangan anggota tentera menentang pihak komunis menerusi kaedah peperangan di hutan dan gerila. Filem arahan seniman Aziz Sattar ini menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Aman Shah dan A.R. Badul. Walaupun tanpa sebarang penggunaan teknologi canggih, namun filem ini berjaya meninggalkan kesan tentang perjuangan pasukan keselamatan negara melalui kaedah penceritaan dan arahan yang baik dari Aziz Sattar.

2. Bukit Kepong (1981)

7bukitkepong00_450Tidak lengkap jika kita bercerita tentang filem patriotik tanpa kita menyentuh filem hebat arahan Jins Shamsuddin ini. Filem yang diangkat daripada peristiwa sebenar serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 boleh dianggap sebagai filem perang terbaik yang pernah dihasilkan di Malaysia.Babak aksi dan emosi yang ditampilkan begitu menyentuh perasaan dan mampu membangkitkan semangat cintakan tanah air. Filem ini juga menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti A.Rahim, dan Hussein Abu Hassan. Filem ini juga telah memenangi tujuh anugerah di Festival Filem Malaysia termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

1. Paloh

Paloh_01Filem hebat arahan Adman Salleh ini sebenarnya memiliki struktur sebagai sebuah filem kenegaraan yang menarik untuk diperkatakan. Malah filem in sebenarnya mengangkat konflik dalaman masyarakat di sebalik latar perang yang berlaku. Paloh mengutarakan persoalan penting mengenai siapa penjajah yang sebenar sama British, Jepun atau komunis. Ini persoalan menarik yang jarang kita peroleh dibincangkan dalam filem-filem bersifat kenegaraan yang lain. Elemen psikologi watak memainkan peranan utama dalam menjadikan filem ini sebagai wajib tonton di bulan kemerdekaan. Kompleksiti pada jalan penceritaan dan perincian pada perwatakan menguatkan lagi Paloh di samping pelakon-pelakon handalan yang terlibat seperti Nam Ron, Gibran Agi, Hasnul Rahmat, Ellie Suriati dan Janet Khoo. Paloh berjaya memenangi beberapa anugerah di Festival Filem Malaysia termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. Selain itu, filem ini juga memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa termasuk Anugerah Khas Juri di Festival Filem Asia Pasifik.

Kemerdekaan yang dimiliki negara wajar dihargai dan melalui penontonan kita terhadap filem-filem ini nescaya kita akan lebih memahami bagaimana payahnya warga terdahulu berjuang untuk membebaskan negara dari pelbagai ancaman dan cengkaman yang tidak berguna. Ketika kehidupan di negara semakin positif, kita harus sama-sama mencorakkan Malaysia menjadi negara terbaik dan aman untuk didiami.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here