Sikap pembangkang yang pilih kasih terutamanya Lim Kit Siang suka menunding jari dalam bercakap mengenai sesuatu isu diselar Tan Sri Noh Omar di Dewan Rakyat hari ini.

Noh yang juga merupakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, perkara ini terkait dengan isu membabitkan antara kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan insiden tanah runtuh di Tanjung Bunga,Pulau Pinang.

“Bila berlaku kejadian yang besar sepertimana yang berlaku sebelum ini maka pelbagai isu ditimbulkan dan jadiĀ  isu politik.

“Cari salah pihak kerajaan, sehinggakan Gelang Patah (Lim Kit Siang) suruh saya letak jawatan menteri kena bertanggungjawab dan dipecat, ini di Tanjung Bunga berlaku…Sebab itu saya kata pembangkang jangan cari salah orang,” katanya di sini hari ini.

Tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang mengorbankan 23 nyawa, 14 September lalu.

Rentetan itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menuding jari kepada Noh di atas musibah yang menimpa pusat tahfiz itu.

Memetik laporan sebuah portal, menerusi catatan di blognya, Kit Siang berkata Noh wajar dipecat daripada jawatan berkenaan ataupun sekurang-kurangnya dipindahkan ke kementerian lain kerana kegagalannya menjalankan tanggungjawab memastikan ‘kesejahteraan bandar’.

Justeru, tegasnya beliau mencabar Kit Siang agar menuntut anaknya Lim Guan Eng meletak jawatan rentetan daripada insiden di Tanjung Bunga sebagaimana yang beliau lakukan terhadapnya sebelum ini.

“Saya nak cabar Gelang Patah cabarlah… sudah tentu kita nak tengok apa tindakan Gelang Patah terhadap anak dia. Suruhlah anak dia letak jawatan kalau anak dia tak nak letak jawatan anak derhaka sebab tak mahu dengar kata ayah dia,” katanya.

Penegasan Noh itu segera, dibangkang oleh pembangkang yang bangun dan mohon Noh bercakap soal inti pati Dewan.

Namun, tegas Noh sekiranya pembangkang tidak berpuas hati dengan apa yang beliau katakan mengenai perkara itu, beliau mengesyorkan agar pembangkang membawa usul Dewan terhadapnya.

“Kalau cakap tak betul bawa usul kepada saya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here