Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjelaskan bahawa beliau tidak suka sesuatu program yang terlalu mengikut protokol.

Jelasnya, apa yang lebih penting ialah hasil kerja yang dilaksanakan dan tidak membuatkan orang ramai yang hadir dalam sesuatu program menunggu terlalu lama.

“Saya tak suka protokol. Saya nak cepat-cepat kita habiskan program kita kerana saya tidak mahu membuang masa.

“Kalau kata mula 9.30 pagi, kita ikut masa mula 9.30 pagi. Itulah Pulau Pinang, kita tak suka protokol kerana kita nak buat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian sempena majlis pelancaran The Park @Mak Mandin, di sini, hari ini.

Menurutnya, penganjur program tidak perlu menunggu sehingga tetamu tertentu tiba untuk memulakan majlis jika ia datang lewat

“Tadi (Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan) Jagdeep Singh Deo datang lewat sebab beliau ada program lain, takkan kita nak tunggu dia hadir dulu sebab nak saya cakap yang paling akhir, tak perlu.

“Kenapa kita perlu buang masa? Kalau seseorang itu lewat dia kena tanggunglah. Tak ada buang masa, itu maksud saya tak suka protokol. Kita teruskan sahaja,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, program tersebut seharusnya diteruskan dengan ucapan perasmi dan tidak perlu tunggu sehingga ketibaan tetamu tertentu.

“Kalau ikut protokol, saya mesti cakap yang terakhir dan semua orang kena tunggu sehingga giliran saya. Kita jangan buang masa orang ramai yang hadir, itu yang lebih penting,” katanya.

Mengulas mengenai projek The Park @Mak Mandin, beliau menjelaskan bahawa ia adalah satu perjanjian penswastaan antara kerajaan negeri dan pemaju, Silver Channel Sdn Bhd yang menyediakan sebanyak 780 unit rumah mampu milik.

“Saya nak ucapkan syabas kepada Silver Channel Sdn Bhd kerana menyokong wawasan kerajaan negeri untuk menjadikan harta-harta ini mampu milik kepada rakyat di Pulau Pinang.

“Kerajaan Pulau Pinang sentiasa memberikan keutamaan kepada bekalan rumah mampu milik untuk rakyat di negeri ini. Kita sekarang menjalankan sebanyak 17 projek perumahan yang akan menyediakan sebanyak 27,230 unit rumah,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah meluluskan sebanyak 36,759 unit rumah mampu milik untuk dimajukan oleh pihak swasta.

“Mengikut maklumat yang saya ada, sebanyak 21,535 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah telah pun dibina di negeri ini.

“Kalau kita bandingkan jumlah ini dengan jumlah rumah yang dibina oleh kerajaan negeri dulu, menunjukkan perbezaan empat kali ganda lebih banyak berbanding apa yang mereka bina iaitu hanya 5,154 unit rumah,” kataya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here