Cassio Francisco De Jesus muncul selaku pemain import kedua terbaharu selepas Do Dong-Hyun dari Korea Selatan, memperkuatkan Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) Musim depan.

Pertahanan import Brazil berusia 28 tahun itu semalam, sah menandatangani kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menyertai Dong-Hyun selain pemain import musim lalu, Morgaro Gomis bersama skuad pantai timur itu.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemilihan bekas pemain import Semen Padang FC dalam Liga Pertama Indonesia musim 2016 dan 2017 itu menepati kriteria diperlukan pasukannya.

“Kita ikat Cassio setahun dengan opsyen tambahan setahun lagi. Asas pemilihan dia kerana pertama dari segi usia masih muda, bebas daripada kecederaan dan paling penting prestasinya bagus ketika bersama kelab lamanya.

“Kita berharap kehadiran dia dapat membantu memperkasakan semula benteng pertahanan selepas menjalani sesi percubaan pasukan ini,” katanya pada sidang media selepas menandatangani kontrak bersama pemain itu di Kota Bharu, semalam.

Pada masa sama, Bibi Ramjani turut mengesahkan Yusri Che Lah dilantik selaku penolong jurulatih sekali gus menamatkan teka-teki berhubung kehadiran bekas pengendali Felcra FC itu di Kota Bharu, sejak beberapa hari lalu.

“Setakat ini memang sah Yusri dilantik cuma dia masih belum tandatangani kontrak lagi. Kita tidak menolak kemungkinan menggunakan dua penolong jurulatih dan mengenai status Sathit (Bensoh) dia kekal selaku pemangku jurulatih,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan Kelantan tidak lagi berminat mengekalkan Abou Bakr Al-Mel atau Bako dan bersedia meminjamkan pemain Lubnan itu kepada mana-mana pasukan lain.

“Ejennya minta kita bayar enam bulan gaji jika mahu tamatkan kontraknya dan saya mungkin terpaksa berdepan dengan laporan daripada Fifa (Persekutuan Bola Antarabangsa) kalau kita rasa nak buat kelainan (singkirkan) daripada dia sertai pasukan ini,” katanya.

Mengenai status, Seydi L’Imam, Bibi Ramjani menjelaskan, penyerang Senegal itu juga berada dalam pertimbangan untuk dipinjamkan kepada pasukan lain.

“Dia masih dalam penilaian sebab dah lama tak bermain. Andai kata gagal, kita akan pinjamkan (kepada pasukan lain) dia tetapi kita masih ada masa dua bulan lagi untuk putuskan kedudukannya,” katanya.

— Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here