Lesen Judi

BAHANG kehangatan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin terasa ketika kedua-dua pihak baik Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang mempersiapkan jentera masing-masing bagi menghadapi hari pemilihan yang disifatkan sebagai paling sengit dalam sejarah.

Bagi BN, antara misi yang paling penting adalah untuk merampas kembali Selangor daripada gabungan pembangkang selain mempertahankan status quo dalam pembentukan kerajaan.

Sebagai sebuah negeri yang paling maju, Selangor juga sudah tentu ingin dipertahankan Pakatan Harapan (PH) biarpun gabungan itu sudah berpatah arang dengan PAS. Sehingga kini, masih tiada maklumat rasmi samada perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara PKR dan PAS masih terus berjalan.

Persediaan kedua-dua pihak iaitu BN dan pembangkang di Selangor agak unik untuk dilihat. Di pihak BN, kesemua komponen perikatan itu kini disifatkan berada dalam persefahaman dan keadaan terbaik bagi menghadapi PRU-14, namun masih belum menampilkan mana-mana calon terbaik bagi mengisi kerusi menteri besar dan menerajui kepimpinan negeri itu.

Biarpun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar kini mengepalai BN Selangor dan begitu bekerja keras untuk merampas kembali negeri itu, beliau tidak dilihat sebagai calon yang popular dan ideal oleh rakyat untuk menjadi menteri besar atas beberapa isu yang pernah berbangkit.

Di pihak pembangkang pula, ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tampak popular untuk dikekalkan sebagai calon menteri besar oleh PH, persediaan pakatan itu bagi menghadapi PRU yang akan datang walau bagaimanapun direncatkan oleh perbalahan dalaman PKR dan ketidaksefahaman yang timbul mengenai isu pembahagian kerusi.

Faktor Jamal Yunos

Antara personaliti UMNO yang dilihat begitu lantang membangkitkan pelbagai isu terhadap kerajaan Selangor pimpinan Azmin ialah tidak lain dan tidak bukan Datuk Seri Jamal Yunos.

Semalam, beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar memberi amaran kepada kerajaan Selangor agar segera mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan lesen pusat judi atau berdepan tindakan ‘di luar batas undang-undang’ oleh pihaknya.

Dalam mengeluarkan amaran tersebut, beliau juga disaksikan menghayun sebuah penukul untuk memecahkan sebuah meja sebagai simbolik kepada tindakan yang akan diambilnya. Tidak berhenti setakat itu, Jamal malah mengancam untuk menceroboh pusat pentadbiran kerajaan Selangor di Shah Alam pula.

Apa yang dipertontonkan oleh Jamal semalam mungkin lahir daripada kemarahan pihaknya mengenai kegiatan perjudian yang semakin berleluasa di Selangor. Walau bagaimanapun, adakah ancaman beliau untuk bertindak di luar batas undang-undang itu tepat dan boleh dipandang sebelah mata?

Sepanjang penglibatannya dalam politik, Jamal tidak terlepas daripada pelbagai kontroversi yang sebahagiannya diciptanya sendiri.

Disember tahun lalu juga menyaksikan Jamal mengancam untuk mengambil tindakan sendiri dalam merobohkan pusat perjudian haram, rumah urut dan pusat karaoke di Sekinchan, Sabak Bernam. Malah beliau mengugut untuk menyewa jentera berat untuk tujuan itu.

Ancaman ini mendorong Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat memberi amaran keras untuk mengambil tindakan terhadap beliau sekiranya rancangan itu tetap diteruskan.

Tindakan rasional yang sepatutnya diambil Jamal ialah melaporkan aktiviti haram yang dikesan kepada majlis daerah ataupun pihak polis. Jika sekalipun masih belum ada tindakan yang diambil oleh pihak berwajib, itu tidak memberikan Jamal sebarang justifikasi untuk bertindak sendiri di luar batasan undang-undang.

Budaya Politik Yang Tertolak

Rakyat sememangnya sudah letih dengan budaya politik yang terlalu kebudak-budakan dan tidak matang. Ketika ramai rakyat sudah mula melihat kesediaan BN untuk berubah dan memperbaiki kehidupan mereka, hadir pula Jamal dengan politik samsengnya membalikkan perasaan tersebut.

Selaku seorang Ketua UMNO Bahagian, Jamal tentunya tertakluk kepada etika dan disiplin parti. Justeru dalam hal ini, UMNO tidak boleh sekadar berdiam dan berlepas diri dari tindakan Jamal. Tindak-tanduknya perlu dikawal dan beliau sendiri perlu dinasihati agar tidak membawa imej yang buruk kepada UMNO.

Di negeri yang maju seperti Selangor, peratusan rakyat yang celik adalah tinggi. Sejajar dengan itu, budaya politik samseng adalah budaya kuno yang tentunya ditolak oleh rakyat khususnya anak muda yang sememangnya terdedah kepada pelbagai maklumat dengan pantas. Perlu diingat, kumpulan anak muda ini bakal membentuk blok pengundi yang paling besar.

Dalam merebut sebuah negeri termaju, UMNO dan BN juga tentunya tidak mahu segala usaha mereka dalam berhempas pulas mendapatkan kembali keyakinan rakyat disia-siakan begitu sahaja ketika rakyat sudah pun keliru dengan kesungguhan pembangkang.

Kenyataan Jamal yang seolah-olah meletakkan undang-undang dalam tangan sendiri hanya akan terus menjauhkan rakyat dari UMNO. Maka dalam menangani kesan yang tidak diingini tersebut, tindak-tanduk Jamal dan beberapa pemimpin sepertinya perlu dikawal. Sehingga itu benar-benar terjadi, Jamal tentu sahaja akan terus menjadi liabiliti kepada UMNO di Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here