JAKARTA – Lebih 100 warga Malaysia termasuk keluarga mereka menyertai upacara menaikkan bendera sempena sambutan Hari Kebangsaan di pekarangan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan di sini hari ini.

Majlis yang bermula seawal 7 pagi itu dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ sambil menyaksikan Jalur Gemilang dinaikkan.

Mereka kemudiannya beramai-ramai menyanyikan lagu Satu Malaysia sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Yang turut hadir ialah isteri kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia Datin Seri Che Mahani Ismail.

Wakil Tetap Malaysia ke Asean Datuk Hasnudin Hamzah mewakili Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengetuai upacara sambutan Hari Kebangsaan itu.

Hasnudin dalam ucapannya berkata, Malaysia sebagai tuan rumah Asean telah berjaya membawa Asean kepada satu tahap yang membanggakan dengan merealisasikan gagasan Komuniti Asean.

“Malaysia akan isytiharkan mengenai kewujudan Komuniti Asean tidak lama lagi dan inilah kejayaan negara-negara Asean iaitu untuk menyatupadukan rakyat dari pelbagai negara jiran,” katanya.

Katanya, Malaysia sentiasa berusaha mempertingkatkan kerjasama dalam hubungan politik, ekonomi dan sosial dengan negara-negara Asean dan kewujudan Komuniti Asean adalah satu kejayaan yang harus dibanggakan oleh rakyat Malaysia.

Satu majlis minum petang sempena Hari Kebangsaan dan meraikan tetamu serta wakil kedutaan dari pelbagai negara akan diadakan di sebuah hotel pada Sabtu depan.

Zahrain tidak dapat menghadiri majlis sambutan itu kerana tidak sihat dan sedang mendapatkan rawatan pakar di sebuah hospital swasta di Jakarta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here