KUALA LUMPUR, – Tarikh keramat 31 Ogos 2015 yang merupakan ulang tahun kemerdekaan negara membawa makna tersendiri kepada lebih 100 pasangan suami isteri yang bertuah menyambut kehadiran anggota baharu dalam keluarga mereka.

Setakat petang ini, sebanyak 154 bayi dilahirkan sejak detik 12 tengah malam tadi antaranya di ibu negara, Putrajaya, Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis, Melaka, Kedah dan Perak.

Di Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 50 kelahiran bayi Merdeka terdiri daripada 27 bayi lelaki dan 23 bayi perempuan setakat pukul 3 petang ini.

Di KUALA TERENGGANU, sebanyak 40 bayi iaitu 21 perempuan dan 19 lelaki selamat dilahirkan di beberapa hospital daerah seluruh Terengganu termasuk 23 yang dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Kelahiran bayi merdeka di HSNZ itu diraikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri Toh Puan Seri Halina Zakaria yang meluangkan masa kira-kira sejam bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa bayi tersebut.

Noraziqa Mohd Toha, 28, dari Kampung Jiboi, Ampangan cukup teruja kerana berkongsi tarikh hari jadi dengan bayi baharunya yang dilahirkan pada pukul 8.31 pagi ini.

“Bayi lelaki seberat 3.18 kilogram ini adalah anak ketiga saya, dua anak sebelum ini adalah perempuan berusia empat dan dua tahun. Saya bersyukur kerana selamat bersalin, tambah menggembirakan, saya dan anak ini akan menyambut hari jadi bersama-sama selepas ini,” katanya yang lahir pada 31 Ogos 1987.

Di KANGAR, enam bayi dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah terdiri daripada masing-masing tiga bayi perempuan dan lelaki iaitu bayi pertama dilahirkan pada pukul 12.38 tengah malam tadi dan yang keenam pada pukul 10.59 pagi tadi.

“Semua bayi berada dalam keadaan sihat dan kesemuanya berbangsa Melayu,” kata jurucakap hospital itu semasa dihubungi hari ini.

Di MELAKA seramai 16 bayi Merdeka dilahirkan di Hospital Melaka iaitu 12 perempuan dan empat lelaki sehingga pukul 4 petang tadi, kata Pengarah Hospital Melaka Datuk Dr Za’aba Baba.

Beliau berkata bayi pertama iaitu perempuan lahir pada pukul 12.03 tengah malam tadi dan terakhir juga bayi perempuan lahir pada pukul 4 petang tadi dan kesemuanya berada dalam keadaan sihat.

Siti Nazirah Atan, 21, yang melahirkan anak keduanya pada pukul 12.12 tengah malam tadi berharap anaknya bakal menjadi seorang yang berjasa kepada negara satu hari nanti.

Di ALOR SETAR, sebanyak 17 bayi Merdeka selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) iaitu lima lelaki dan 12 perempuan dan bilangan itu dijangka meningkat sehingga tengah malam ini.

Nurul Nabilah Abdullah, 21, dari Kampung Alor Setol berkata pengalaman melahirkan anak sulungnya, bayi lelaki seberat 3.18 kilogram pada 2.09 pagi tadi, amat manis kerana berkongsi tarikh keramat kemerdekaan negara.

Ong Siew Chen, 29, pula teruja dan tidak akan melupakan Hari Kebangsaan tahun ini kerana beliau selamat melahirkan bayi perempuannya seberat 3.1 kilogram pada pukul 2.11 pagi tadi di hospital tersebut.

Exco Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyediakan hamper dan pembukaan akaun bernilai RM200 untuk 50 bayi Merdeka di HSB.

Katanya, kerajaan negeri juga memberi baucar barangan bayi bernilai RM80 dan pembukaan akaun Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM20 menerusi Skim Insentif Kelahiran Anak (IKA).

Di IPOH, sebanyak sembilan bayi Merdeka dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan kelahiran pertama kira-kira 12.05 tengah malam tadi dan bayi kesembilan pada 11.26 pagi tadi.

Kelahiran cahaya mata sulung, seorang bayi lelaki seberat 2.6 kilogram, lima minit selepas detik 12 tengah malam itu sangat bermakna buat pasangan Amal Munirah Mohd Aniza, 22, dan suaminya Mohd Khalif Aleas, 32.

Ini kerana tarikh hari ini merupakan ulang tahun pertama perkahwinan mereka sekaligus memberikan kebahagian berganda dan hadiah tidak ternilai kepada pasangan itu.

Turut berkongsi kegembiraan ialah Asmah Angah, 39, serta suami Alang Ayyam, 40, dari Pos Kemar, Gerik yang menyambut kelahiran anak ke-12 mereka iaitu bayi perempuan seberat 3.65 kilogram kira-kira 12.12 tengah malam tadi di HRPB.

Hospital Pakar KPJ Ipoh merekodkan dua kelahiran iaitu yang pertama merupakan bayi perempuan pada 8.45 pagi tadi dan kedua, seorang bayi lelaki pada 9.53 pagi tadi.

Sebanyak tiga kelahiran iaitu dua bayi lelaki dan seorang bayi perempuan dicatatkan di Hospital Pantai Ipoh.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here