Layan Rohingya

KOMITMEN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membangkitkan isu penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar semasa pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 12 September ini adalah tindakan yang cukup terpuji.

Isu Rohingya menjadi antara topik perbincangan semasa lawatan kerja Najib ke AS selain bakal membincangkan isu antikeganasan, rundingan bilateral, pelaburan dan keselamatan serantau.

Komitmen tersebut memperlihatkan pendirian Malaysia untuk terus memperjuangkan isu Rohingya yang dianggap sebagai isu kemanusiaan.

Kenapa etnik Rohingya perlu dibela?

Kaum Rohingya juga adalah manusia biasa seperti kita semua dan sepatutnya dilayan sebagai seorang insan selayaknya.

Tetapi, tentera Myanmar masih meneruskan misi kekejaman terhadap bangsa yang tidak dianggap sebagai warganegara di bumi mereka sendiri.

Ketika ini, Malaysia melin­dungi lebih dari 40,000 etnik Rohingya di seluruh negara.

Kenapa Malaysia menunjukkan komitmen membela etnik Rohingya?

Ini kerana, Rohingya ini bukan lagi menjadi isu dalaman Myanmar kerana pelarian ini secara perlahan sudah mengembara ke selatan menuju pesisiran Malaysia.

Etnik Rohingya adalah seperti kita semua, manusia yang perlukan makanan, perlindungan dan tempat tinggal.

Perlukah kita menghulurkan bantuan kepada masyarakat Rohingya atau membiarkan kekejaman terus berleluasa terhadap masyarakat ini?

Siapa masyarakat Rohingya?

Masyarakat Rohingya adalah orang Islam yang menetap di daerah Rakhine di Myanmar, bersempadanan Bangladesh dan mereka secara etnik dan bahasa adalah berbeza dengan kumpulan etnik lain di Myanmar.

Etnik ini dikatakan mula berpindah dari Bengal dan menetap di Rakhine sebagai pedagang seawal kurun ke-15 Masihi.

Mencapai kegemilangan pada kurun ke-17 dan 18 Masihi, keunggulan Empayar Burma mula tersirna setelah digempur kekuatan ketenteraan British dan telah menakluk Myanmar sebagai sebahagian dari British Raj pada 1885.

Sewaktu era British Raj, orang Rohingya tiba dalam jumlah yang besar ke Myanmar pada kurun ke-19 Masihi untuk bekerja di ladang-ladang sebagai buruh.

Sebagai pedagang dan buruh, masyarakat Rohingya banyak menyumbang terhadap kemajuan ekonomi daerah Rakhine. Migrasi ini berakhir setelah Myanmar mencapai kemerdekaan pada 1948.

Penindasan yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya bukan atas faktor agama, tetapi kebencian kepada etnik ini.

Majoriti rakyat Myanmar meng­anggap Rohingya sebagai pendatang haram yang berasal dari rantau Bengal atau dari Bangladesh sendiri yang tidak memiliki apa-apa persamaan dengan kumpulan etnik Myanmar lain dan oleh itu harus diusir dari Myanmar.

Kaum Rohingya telah berjuang untuk hak-hak mereka sejak kependudukan Jepun di Myanmar pada tahun 1941.

Apabila Jepun me­nyerah kalah, pihak Rohingya menganjurkan gerakan pemisahan untuk menyatukan daerah Mayu di Rakhine sebagai sebahagian dari Pakistan Timur.

Akan tetapi, gerakan berkenaan gagal mencapai tujuan. Ini kemudiannya menyebabkan Rohingya berjuang untuk menubuhkan daerah autonomi Muslim di Rakhine pada 1950-an.

Gerakan ini berhadapan penentangan terutama dari kudeta Burma yang melancarkan operasi ketenteraan ke atas masyarakat Rohingya selama dua dekad bermula 1962. Pada 1982, kerajaan Burma secara efektif menafikan hak ke­rakyatan Rohingya menerusi penggubalan Akta Kerakyatan 1982.

Sejak itu, masyarakat Ro­hingya dianggap pendatang haram dan tidak diterima sebagai rakyat Myanmar.

Kerajaan Burma telah secara rasmi menafikan berlakunya keganasan terhadap kaum Ro­hingya.

Akan tetapi, berbeza dengan laporan antarabangsa, kaum Rohingya dilaporkan telah diasingkan di dalam kem-kem tahanan dengan sedikit atau tiada bekalan air atau makanan, didiskriminasikan dan diperlakukan dengan keganasan.

Malaysia adalah sebuah negara yang menghormati prinsip berkecuali yang didokong ASEAN.

Namun, isu Rohingya bukanlah lagi isu domestik atau isu dalaman Myanmar kerana keganasan yang berlaku di Rakhine telah menyebabkan banyak pelarian dari negara tersebut menjengah pesisiran negara-negara jiran bagi memohon bantuan kemanusiaan.

Walaupun Myanmar secara berterusan menafikan berlakunya keganasan, kerajaan Naypyi­daw harus sedar bahawa dunia sedang memerhatikan mereka.

Layanan buruk secara berterusan yang diberikan kepada kaum Rohingya tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada rantau ini.

Seperti kumpulan etnik-etnik lain di Myanmar, etnik Rohingya juga memerlukan pembelaan sewajarnya.

Sesungguhnya, tidak ada sebab untuk menafikan mereka dari layak menerima layanan seperti manusia biasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here