larangan bertudung

KECOH sejak beberapa hari kebelakangan ini mengenai larangan pemakaian tudung oleh sesetengah hotel yang dikenakan ke atas wanita Islam yang bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan ataupun front desk. Alasan yang diberikan begitu mudah; pekerja bertudung gagal dan tidak mampu menarik pelanggan.

Malang sekali, kita sangkakan kes seumpama itu agak terpencil, tetapi rupa-rupanya dasar itu dilihat seolah-olah sudahpun dilaksanakan dengan meluas dalam industry perhotelan di Malaysia. Persatuan Hotel Malaysia (PHM) umpamanya telah pun mengeluarkan kenyataan mempertahankan larangan seumpama itu bahawa tindakan sesetengah hotel itu sememangnya bertepatan dengan dasar ataupun piawaian antarabangsa.

Sangatlah menyedihkan, dalam keadaan kita menyangka cara hidup Islam sepatutnya hidup lebih subur di negara majoriti Muslim ini, situasi itu tampak begitu terbalik dengan ancaman ke atas nilai dan tatacara hidup orang Islam semakin hari semakin jelas. Mungkin di sana ada kelompok Muslim ‘liberal’ yang tidak pun peduli dengan perkembangan sebegini. Malah, kita yakin kelompok ini bilangannya bukan sedikit di Malaysia. Bahkan, mereka golongan terpelajar dan professional pula.

Hormat Identiti dan Budaya Negara

Bercakap mengenai larangan pemakaian tudung ini, mungkin elok jika kita bertanya kepada pihak yang berkenaan samada mereka sedar atau tidak di mana sebenarnya mereka beroperasi? Apakah mereka merasakan hotel-hotel ini beroperasi di negara-negara Barat atau sekular yang lain? Atau mereka fikir standard perkhidmatan hotel di negara ini perlu mencontohi standard yang diamalkan di kota-kota besar dunia seperti London, New York mahupun Paris? Apakah mereka tidak faham bahawa mereka sebenarnya berada di Malaysia, sebuah negara majoriti Melayu Muslim, yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi?

Mustahil sama sekali pengusaha-pengusaha hotel ini tidak faham mengenai sensitiviti dan tatacara hidup orang Melayu Islam di Malaysia. Dalam keadaan kita mengakui bahawa negara bertuah ini semakin membangun dan hotel-hotel juga semakin pesat dibangunkan, ianya bukan lagi rahsia mengenai siapa dan apa pula bangsa kebanyakan pemilik-pemilik hotel ini. Pendek kata, pemilik-pemilik hotel ini bukannya tidak tahu dan tidak maklum mengenai isu yang sensitif ini, tetapi mereka sengaja mahu menjentik dan menghakis nilai-nilai tersebut. Tidak kiralah jika hendak melaksanakan dasar ‘antabangsa’ sekalipun, tetapi apabila sudah berpijak dan beroperasi di Malaysia ini, belajarlah untuk menghormati identiti, budaya dan cara hidup masyarakat terbanyak di sini.

Tak Faham atau Sengaja Tak Mahu Faham?

Kadang-kadang kita pun seolah-olah hampir tidak percaya, setelah lebih 60 tahun negara merdeka, mengapa di sana terdapat ramai lagi individu dan majikan bukan Islam yang nampaknya sengaja tidak mahu faham dan sensitif terhadap keperluan masyarakat Islam? Dalam beberapa kes-kes terpencil, kita melihat dan mendengar beberapa contoh yang menunjukkan pekerja dan kakitangan Muslim dilarang menunaikan solat fardhu Jumaat kerana ianya ‘memakan masa’. Situasi seumpama ini biarpun terpencil, amatlah kita kesali. Mengapa pengusaha-pengusaha ini tidak mencontohi beberapa syarikat perniagaan antarabangsa yang jelas cakna dan prihatin terhadap keperluan dan budaya hidup komuniti terbesar Malaysia? Lihatlah sahaja bagaimana dalam setiap premis perniagaan yang diwujudkan mereka di negara ini, kemudahan dan keselesaan surau umpamanya tidak langsung diabaikan. Ianya berbeza sama sekali dengan kemudahan yang disediakan pengusaha tempatan bukan?

Berbalik kepada larangan pemakaian tudung, hairan bin ajaib kerana isu ini tidak pula begitu disensasikan tatkala ianya dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi jelas terhadap wanita Islam. Sedangkan dalam tempoh beberapa bulan yang lalu kita melihat bagaimana isu dobi mesra Muslim, larangan penganjuran pesta arak dan pesta muzik gay begitu asyik dimainkan di media sehingga ada pihak-pihak tertentu yang menggelar negara ini sudah menjadi negara Taliban. Hari ini, timbul pula isu kedai produk kecantikan untuk orang Islam sahaja yang nampaknya terus sengaja disensasikan. Dan kita yakin, selepas ini pasti akan muncul beberapa kelompok Muslim yang kononnya ‘progresif’ menghentam perkhidmatan-perkhidmatan sebegini.

Dianiaya di Negara Sendiri

Situasi yang tampak memperkecilkan keperluan dan kewajipan umat Islam di Malaysia ini sebenarnya sudah berlarutan lamanya walaupun di sana sudah terdapat begitu banyak seruan dan gesaan agar perkara itu segera diberi perhatian. Analogi yang sama kita boleh sebutkan apabila bercakap tentang perkhidmatan sebagai pramugari di negara ini. Sejak sekian lama, ramai yang mempersoalkan mengapa pramugari syarikat penerbangan tempatan, baik MAS mahupun syarikat penerbangan swasta yang lain, masih mengenakan larangan serupa terhadap wanita Islam. Malah, seruan agar hidangan minuman arak dalam pesawat dihentikan juga seolah-olah masuk ke telinga kanan dan keluar di telinga kiri. Kasihan pramugari-pramugari Islam ini yang kita yakin sebahagian dariapada mereka apada asalnya bertudung, tetapi demi mencari rezeki dan pendapatan, terpaksa menanggalkan tudung, berpakaian seksi dan sudahlah tidak dibenarkan bertudung, ‘dipaksa’ pula menanggung dosa menghidangkan arak.

Lihat saja kepada beberapa syarikat penerbangan luar yang lain yang masih mengekalkan tatacara pemakaian Islam. Kita melihat syarikat-syarikat penerbangan ini tidak pun berdepan dengan sebarang masalah, bahkan prestasi perkhidmatan yang ditawarkan juga jauh lebih baik. Jadi apa kaitannya larangan pemakaian tudung dengan peningkatan prestasi perkhidmatan? Langsung tidak ada. Contoh-contoh seperti ini memperlihatkan bagaimana sektor-sektor tertentu dalam negara, khususnya pelancongan, kini diancam dengan nilai sekular yang serius. Jika perkara ini dibiarkan ataupun dipandang sambil lewa oleh pihak-pihak berwajib, kita bimbang pada satu hari nanti negara ini tidak ubah seperti negara bukan Islam yang lain.

Tanggungjawab Kerajaan dan Pihak Berwajib

Maka, atas sebab itu, orang Melayu Islam di Malaysia, sebagai komuniti terbesar negara, wajar menyokong gesaan beberapa pihak yang lantang memperjuangkan hak-hak orang Islam di negara ini. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) umpamanya baru-baru ini menggesa orang Islam agar memboikot hotel-hotel yang berkenaan. Seruan yang serupa dilontarkan oleh Mufti Perlis agar lesen perniagaan mana-mana syarikat yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita bertudung ditarik balik. Bagi pihak berwajib dan kerajaan pula, terutamanya kementerian-kementerian berkaitan, inisiatif tegas perlu diambil berhubung perkara ini dan ianya boleh direalisasikan dengan menggariskan beberapa panduan khusus yang perlu dipatuhi oleh mana-mana pelabur yang ingin menjalankan perniagaan di Malaysia. Keberadaan mereka dalam sektor swasta tidak sepatutnya memberikan mereka hak untuk menyekat kebebasan rakyat negara ini untuk beramal dengan kepercayaan masng-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here