KUALA LUMPUR, 10 Sept – Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia (MNPC) akan memuktamadkan kaji selidik pendapat umum mengenai nuklear sebagai sumber tenaga dan menyiapkan laporan tersebut pada akhir tahun.

Pengarah Program Pembangunan Tenaga Nuklear MNPC Jamal Khaer Ibrahim berkata kaji selidik itu mendapati lebih 70 peratus daripada 2,400 respondennya tidak pasti mengenai daya maju sumber baharu itu.

“Kami akan memulakan pelaksanaan komunikasi awam dan menjalankannya secara berterusan,” katanya kepada pemberita di luar Seminar Rantaian Bekalan Nuklear 2015 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau membentangkan kertas kerja mengenai Program Transformasi Ekonomi dan keperluan untuk kepelbagaian sumber tenaga.

Kerajaan menubuhkan MNPC pada 2011 untuk menjalankan program tenaga nuklear, dengan pelaksanaan loji tenaga dua-gigawatt.

“Kami telah menandatangani perjanjian bukan pendedahan dengan sembilan buah syarikat asing bagi mendapatkan maklumat teknikal untuk mengakses teknologi,” kata Jamal Khaer.

Beliau berkata MNPC belum mengenal pasti tapak untuk loji tenaga nuklear tersebut.

“Kami akan mengenal pasti tapak selepas penglibatan awam dilakukan dan kerajaan memberi kebenaran untuk pergi ke lapangan. Ia mungkin di sepanjang persisiran pantai disebabkan kami memerlukan sistem penyejukan,” katanya.

Ketika ini, terdapat 435 reaktor tenaga nuklear beroperasi di 30 buah negara dan menjana 11 peratus daripada tenaga elektrik dunia.

Seminar dua hari itu merupakan anjuran bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan Agensi Nuklear Malaysia.

Sumber: BERNAMA

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here