Laporan

Sudah lebih 52 tahun sejak Singapura dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia. Walaupun terpisah, kedua-dua negara tetap meneruskan hubungan diplomasi yang baik dan menjalani haluan berbeza bagi memenuhi aspirasi negara masing-masing.

Beberapa hari yang lalu, portal atas talian Singapura, The Independent.sg menyebarkan berita palsu mengenai ketidakcekapan perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang mengakibatkan kematian seorang belia Singapura, Justinian Tan. Setelah mendapat bantahan berterusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia terhadap laporan tidak bertanggungjawab tersebut, The Independent.sg telah pun menarik balik laporan tersebut dan menggantikannya dengan perkatann ‘We’re Sorry’ atau dalam Bahasa Melayu, ‘Kami Memohon Maaf’.

Terpulang kepada kita rakyat Malaysia sama ada untuk menerima atau tidak menerima permohonan maaf tersebut. Laporan oleh The Independent.sg ini telah secara langsung atau tidak langsung menyimpulkan bagaimana rakyat Singapura (bukan semua) melihat kita secara umum:

Kemudahan awam (dalam kes ini, perkhidmatan kesihatan) di Malaysia tidak setaraf dengan yang ada di Singapura;

Kemalangan jalan raya yang telah merenggut nyawa Justinian Tan adalah sebuah kecelakaan yang berlaku di luar jangkaan dan sesungguhnya kita semua berduka cita atas kejadian ini. Kemalangan boleh berlaku di mana-mana, malah di dalam bilik atau rumah seseorang itu sendiri. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna The Independent.sg berhak untuk mengutuk perkhidmatan kesihatan Malaysia tanpa usul periksa.

Malaysia memiliki salah satu kemudahan kesihatan terbaik di dunia, seperti yang dilaporkan oleh majalah International Living yang berpangkalan di Baltimore pada tahun 2017. Terdahulu dalam tahun 2014, majalah yang sama telah memetik bahawa kepakaran pengamal perubatan di Malaysia adalah ‘setaraf dengan atau lebih baik daripada pengamal di negara-negara Barat’.

Laporan ini tidak diterbitkan di Singapura ataupun Malaysia, tetapi oleh sebuah majalah Amerika Syarikat. Singapura berbangga dengan statusnya sebagai negara dunia pertama di Asia Tenggara tetapi laporan oleh The Independent.sg ini menunjukkan mereka mungkin tidaklah semaju yang kita sangka.

Bandaraya-bandaraya Malaysia seperti Johor Bahru dan Kuala Lumpur adalah berbahaya dan wajar dielakkan;

Portal berita atas talian seperti AsiaOne dan The Straits Times telah beberapa kali menerbitkan artikel-artikel yang menunjukkan betapa bahayanya bandaraya Johor Bahru. Sebuah artikel yang diterbitkan oleh MalayMail Online bertajuk ‘Driving to KL…taking your life in your own hands?’ yang dikarang oleh wartawan Singapura, Surekha A. Yadav jelas memaparkan persepsi buruk rakyat Singapura seolah-olah Malaysia adalah sebuah ‘bumi jenayah’.

Walaupun pelbagai laporan-laporan buruk yang ditulis terhadap Malaysia oleh portal berita Singapura ini, terdapat lebih 13 juta pelancong berkunjung ke Malaysia pada tahun 2016, jumlah yang lebih banyak daripada dua kali ganda jumlah keseluruhan penduduk penduduk Republik Singapura. Sekiranya Malaysia benar-benar tidak selamat, kenapa perlu berbondong-bondong berkunjung ke negara ini?

Dalam Indeks Keamanan Global, Malaysia ditempatkan pada tangga ke 29 daripada 163 negara, manifestasi bahawa Malaysia adalah salah sebuah negara paling selamat di dunia. Singapura juga bukanlah di tahap ‘top 10’ dan berada di tangga 21, tidak terlalu jauh dari Malaysia.

Lagipula, pada tahun 2016, Bank Dunia menempatkan Malaysia sebagai negara kedua paling banyak dikunjungi di Asia setelah China dengan merekodkan 27 juta pelancong yang mengunjungi negara ini, mendahului Thailand, Korea Selatan dan Jepun. Sekiranya Malaysia benar-benar bahaya, bagaimana mungkin Malaysia akan termasuk dalam senarai ini?

Rakyat Malaysia tidak boleh berbahasa Inggeris sebaik rakyat Singapura;

 Laporan yang baru-baru ini ditarik balik oleh The Independent.sg menegaskan secara tidak langsung bahawa rakyat Malaysia tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris sebaik rakyat Singapura. Ini berdasarkan laporan bahawa terdapat salah faham di antara rakan-rakan Tan (yang berbahasa Inggeris) dengan kakitangan HSA (yang berbahasa Melayu).

Ini tidak semuanya benar. Menurut EF Indeks Kefasihan Bahasa Inggeris (EF EPI), Malaysia ditempatkan di tangga ke-12 (kefasihan tinggi) daripada 72 buah negara yang dinilai. Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia secara umumnya boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Walaubagaimanapun, sekiranya benar kakitangan HSA tidak boleh berbahasa Inggeris, bahasa Melayu tetap salah satu bahasa rasmi dan satu-satunya bahasa kebangsaan Singapura. Ini ditekankan di dalam Seksyen 7(2) Akta Kemerdekaan Republik Singapura 1965. Salah faham atau komunikasi tersilap mungkin berlaku sekiranya seseorang rakyat Malaysia atau Singapura berkunjung ke Thailand (yang mana bahasa Thai sememangnya bahasa asing) tetapi bahasa Melayu bukanlah bahasa yang benar-benar sing bagi rakyat Singapura. Ketidakbolehan anak-anak muda Singapura ini untuk bertutur walaupun dalam bahasa Melayu mudah menunjukkan kegagalan sistem pendidikan Singapura dalam menaikkan taraf satu-satunya bahasa yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara tersebut.

Sebenarnya terdapat lebih yang boleh disenaraikan tetapi tiga ini adalah persepsi-persepsi utama rakyat Singapura terhadap kita yang perlu diperbetulkan dari masa ke semasa. Walaupun terdapat rakyat Malaysia yang dengan bersenang hati memburukkan negara sendiri di dunia maya, kejadian baru-baru ini yang melibatkan HSA menunjukkan bahawasanya terdapat banyak lagi rakyat Malaysia yang bersedia untuk mempertahankan negara sekiranya terdapat laporan tidak bertanggungjawab seperti yang diterbitkan oleh The Independent.sg yang sengaja merosakkan imej negara.

Walaupun portal berita atas talian tersebut telah memohon maaf, kerajaan Malaysia perlu bertegas untuk memastikan perkara ini tidak terjadi lagi.

Malaysia dan Singapura adalah dua negara berjiran yang telah wujud secara bersama selama 5 dekad dengan baik. Janganlah ada pihak yang cuba mengeruhkan suasana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here