Melayu

JERANTUT – Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyifatkan pemilihan tiga pemimpin Melayu daripada dua parti berbeza menerajui pakatan pembangkang sebagai satu lantikan taktikal dalam usaha meraih sokongan Melayu selain hanya akan menguntungkan DAP.

Khairy berkata keadaan itu juga jelas menunjukkan kecelaruan dan tidak ada kesepakatan dalam pakatan pembangkang sehingga terpaksa mewujudkan tiga jawatan teratas untuk memimpin parti berkenaan walaupun tidak jelas fungsinya.

“Dia tahu bahawa sekarang ini untuk mendapat sokongan rakyat, mereka sangat memerlukan pengundi Melayu, jadi saya lihat pelantikan ini satu pelantikan taktikal yang semata-mata hanya untuk menunjukkan mereka mempunyai kepimpinan Melayu.

“Hakikat sebenarnya kita tahu siapa pegang kerusi yang paling banyak, jadi kita jangan terpedaya dengan dengan taktik berkenaan kerana saya percaya di sebalik tabir yang akan menentukan dasar dari segi bilangan kerusi adalah DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda, dan Puteri Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris. Menurut Khairy walaupun tidak berada dalam senarai pimpinan tertinggi pakatan pembangkang, DAP dilihat ‘menyembunyikan kuku’ dengan memain peranan di belakang tabir dan dijangka hanya akan menunjukkan belang selepas pilihan raya umum (PRU) sama seperti yang berlaku semasa pembangkang menerajui pentadbiran Perak suatu ketika dahulu.

“Kalau kita lihat, DAP tidak tersenarai dalam barisan kepimpinan teratas dan apabila kuasa sebenar tidak diwakili dalam kepimpinan teratas saya menjangkakan akan berlaku kecelaruan.

“Kita tidak boleh serahkan kuasa ini kepada pihak yang tidak ada kepimpinan yang jelas, kerana ia tidak akan berfungsi selain tidak tahu siapa yang akan buat keputusan…apabila makhluk tiga kepala, memang susahlah nak hidup kerana tidak tahu arah mana yang hendak pergi.

“Bagi saya jika kita hendak kepimpinan yang stabil dan jelas hala tuju, hanya satu pilihan kita iaitu Barisan Nasional,” katanya.

Pembangkang pada Khamis lepas mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang diterajui oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Ketua Umum) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Presiden).

Dalam ucapannya sebelum itu, Khairy mengingatkan perwakilan supaya tidak ‘tertumpu┬┤ dengan soal pemilihan UMNO tatkala parti itu kini berhadapan dengan cabaran besar untuk memenangi PRU akan datang.

“Itu semua tidak penting (pemilihan parti) kerana apa makna jawatan dalam parti jika kita tewas dalam PRU…jika parti kita tidak berkuasa, kita akan hilang segala-galanya.

“Ini kerana sebelum ini mereka (pembangkang) telah membayangkan jika mereka berkuasa mereka hapuskan institusi pengajian khusus kepada orang Melayu dan buka kepada kaum lain, mereka juga akan kecilkan lagi perjawatan dalam perkhidmatan awam.

“Malah mereka juga merancang untuk mengkaji semua agensi yang ditubuhkan untuk bantu kaum Melayu dan bumiputera termasuk Mara, jadi kita tidak ada pilihan melainkan mengekalkan UMNO dan BN dalam PRU akan datang,” katanya.

Sementara itu Khairy berkata pengakuan Dr Mahathir bahawa beliau telah merancang menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak tahun 2014 secara langsung telah membuktikan langkah memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam parti dan kerajaan adalah satu tindakan tepat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here