Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) bercadang mempromosikan Langkawi sebagai bandar raya sukan berkaitan eko untuk menjana manfaat tambahan bagi masyarakat pulau ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Khalid Ramli di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun terkenal sebagai destinasi pelancongan, kebanyakan acara yang dianjurkan setiap tahun di pulau ini adalah sukan berkaitan eko yang menarik kehadiran banyak warga asing.

“Kami juga mahu Langkawi menjadi bandar raya sukan berkaitan eko memandangkan pulau ini kaya dengan nilai ekonomi dan media (yang wujud hasil daripada acara sukan yang dianjurkan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Persatuan Pengurusan Sukan Asia (AASM) ke-11 di sini.

Beliau memuji AASM kerana memilih Langkawi sebagai venue persidangan itu untuk tahun ini, yang dihadiri kira-kira 300 peserta dari beberapa negara Asia.

“Mungkin kami akan cuba gunakan dapatan daripada persidangan ini bagi membantu kami menggubal program lebih komprehensif untuk menjadi sebuah bandar raya sukan. Ia akan menjadi input berguna,” katanya.

Beliau juga menyambut baik rancangan AASM untuk mengadakan Persidangan Pengurusan Sukan Sedunia di Langkawi tahun depan.

Sumber: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here