KUALA LUMPUR, 1 Sept – Kerajaan Malaysia perlu membiarkan pasaran menentukan kadar ringgit, kata pakar ekonomi yang juga Ketua Ahli Ekonomi/Strategi Pelaburan IQI Group Holdings, Shan Saeed.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kerajaan bertindak tepat apabila memutuskan untuk tidak melaksanakan langkah menambat ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Saya percaya kerajaan telah melakukan perkara yang tepat dengan tidak menambat ringgit berbanding dolar.

“Malah, saya sendiri yakin kepada pasaran bebas dan tidak percaya dengan tindakan campur tangan kerajaan.

“Apabila kerajaan campur tangan dalam pasaran, ia hanya membuktikan yang pasaran telah hilang keyakinan terhadap keupayaannya.

“Biarkan pasaran tentukan kadar ringgit sama ada ia harus didagangkan pada paras 4.0, 3.8 atau 3.9. Kerajaan sepatutnya tidak campur tangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program sehari Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 2015 Mengenai Prospek Ekonomi Asia dan Pasaran serta Kesannya kepada CFO dan Pemimpin Kewangan, di sini, hari ini.

Sidang kemuncak bertemakan ‘Perubahan Masa Depan Bermula Hari ini,’ adalah anjuran Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI).

Mengulas selanjutnya, Saeed berkata ringgit diniagakan pada paras 3.77 pada Mac lepas, 3.55 pada Mei dan seterusnya mencecah 4.19, minggu lepas.

“Bagi Malaysia, setakat ini memang ada beberapa halangan struktur, tetapi pada kesudahannya ia menyentuh soal keyakinan ekonomi serta mengenai kebimbangan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah ASLI, Sri Dr Ramon Navaratnam, berkata biarpun perubahan masa, namun Malaysia masih menggunakan model sama sejak 1970-an.

“Itu bagi saya, adalah masalahnya,” kata Ramon yang bertindak sebagai pengantara dalam sesi berkenaan.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here